Drama tawanan berakhir selepas 30 jam, 21 maut di Mogadishu

Drama tawanan berakhir selepas 30 jam, 21 maut di Mogadishu

KEROSAKAN yang berlaku di Hotel Hayat selepas diserang kumpulan al-Shabaab sejak Jumaat lalu di Mogadishu, Somalia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOGADISHU: Drama tawanan selama lebih 30 jam oleh kumpulan pejuang berani mati, al-Shabaab di sebuah hotel di Mogadishu berakhir semalam, menyaksikan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh.

Jumlah kematian itu disahkan oleh Menteri Kesihatan Somalia, Ali Haji Adan dan kejadian itu menyebabkan orang ramai berasa bimbang dengan kehilangan ahli keluarga mereka.

Serangan senjata api dan letupan bom yang dilakukan oleh kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda itu terhadap Hotel Hayat menyebabkan sebahagian bangunan tersebut runtuh.

Keadaan itu menyebabkan sejumlah orang dikhuatiri terperangkap di bawah runtuhan sejak serangan dan kepungan bermula pada petang Jumaat lalu.

Kementerian Kesihatan setakat ini mengesahkan kematian 21 orang dan 117 lagi cedera dengan 15 daripadanya kritikal.

Pasukan keselamatan dan pakar pemusnah bom turut memeriksa keadaan di dalam hotel tersebut bagi mencari sebarang bahan letupan dan mengalihkan sebahagian daripada struktur runtuhan.

Insiden itu turut menyaksikan pasukan polis menyelamatkan 106 orang tebusan termasuk kanak-kanak serta wanita.

Pegawai polis, Abdi Hassan Mohamed Hijar berkata, kebanyakan mangsa terkorban ketika awal serangan berlaku sebelum pasukan keselamatan menyelamatkan tebusan secara individu menerusi bilik demi bilik.

Serangan itu merupakan yang terbesar di Mogadishu sejak presiden baharu Somalia, Hassan Sheikh Mohamud memegang jawatan itu pada Jun lalu dan mencabar pemberontakan selama 15 tahun oleh al-Shabaab.

Sementara itu, orang ramai mula memenuhi premis hotel bagi mengetahui keadaan keluarga mereka yang mungkin menjadi mangsa serangan tersebut.

Hotel itu menjadi ‘tempat kegemaran’ untuk mengadakan pertemuan oleh pegawai kerajaan dan ketika kejadian, terdapat puluhan pengunjung berada di dalam premis berkenaan.

Seorang saksi yang merupakan pegawai kerajaan, Abdifatah Mohamed memberitahu, dia terdengar bunyi letupan yang amat kuat ketika bertemu rakannya dan diikuti dengan tembakan.

“Saya dapat saksikan kumpulan bersenjata menyerbu masuk ke hotel dan melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

“Saya sempat berlari dan bersembunyi di dalam tandas sebelum diselamatkan 40 minit kemudian,” ujarnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya