WELLINGTON: Seorang doktor warga Malaysia yang menjalani hukuman bagi kesalahan mencabul pesakitnya, dihantar pulang ke tanah air selepas dibebaskan dari sebuah penjara di North Island.
Lapor nzherald.co.nz, David Kang Huat Lim disabit kesalahan mencabul empat lelaki muda ketika mereka tidak sedarkan diri selepas dibius di sebuah klinik di Hastings pada 2014.
Menurut laporan, keempat-empat mangsa itu telah diberi ubat bius Midazolam.
Mangsa memaklumkan Mahkamah Daerah Napier pada 2017 bahawa ketika mereka sedar, doktor berkenaan didapati meraba alat sulit mereka.
Lelaki berkenaan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit ringan yang dialami.
Lim menjalani hukuman penjara selama lima tahun dan masih menafikan tuduhan terhadapnya.
Dia kini memperkenalkan dirinya sebagai wanita, namun keputusan Lembaga Parol dan dokumen rasmi terbaharu agensi kerajaan masih menggunakan nama David Lim berikutan tiada bukti dia sudah menukar namanya.
Lim dikenakan perintah pengusiran semasa menjalani hukuman penjara.
Lembaga Parol membuat keputusan demikian berikutan perbicaraan pada 26 Januari di Penjara Tongariro memaklumkan dia terus menafikan jenayahnya dan tidak melengkapkan rawatan.
“Disebabkan penafian yang berterusan, dia tidak melengkapkan sebarang rawatan berfokuskan kesalahan.
“Penglibatannya dengan perkhidmatan psikologi adalah untuk membangunkan pelan keselamatan dari perspektif penafian,” jelas keputusan panel Tania Williams-Blyth.
Williams-Blyth berkata, Lim dibebaskan setelah menamatkan hukuman penjara pada 1 Jun lalu.
Sementara itu, Jurucakap Kementerian Perniagaan, Inovasi dan Pekerjaan (MBIE) mengesahkan Lim sudah dihantar pulang ke Malaysia pada 3 Jun lalu.
Pengurus besar pengesahan dan pematuhan imigresen New Zealand, Richard Owen berkata, kerajaan menanggung kos penghantaran pulang Lim.
Warga Malaysia itu pernah menjalani latihan sebagai doktor di Scotland sebelum berpindah ke Hawke’s Bay di New Zealand pada 2006.
Menurut keputusan terbaharu Lembaga Parol, Lim tidak akan dibenarkan pulang semula ke New Zealand.