BEIJING: Ratusan penduduk di bandar Chongqing ‘mencari perlindungan’ di stesen tren bawah tanah yang sesak, ketika China dilanda musim panas melampau yang pernah direkodkan.
Penduduk berpusu-pusu berteduh di lokasi itu memandangkan penyaman udara dan keadaan bawah tanah yang sejuk memberi kelegaan kepada mereka dalam menghadapi cuaca panas melampau di luar.
Sejumlah wilayah di China dilanda gelombang haba kritikal sehingga mendorong penjimatan bekalan elektrik dilakukan, sekaligus memaksa kilang ditutup dan lampu dimalapkan di kebanyakan jalan di bandar itu.
Kumpulan pakar berpandangan tahap intensiti, skop dan tempoh gelombang haba yang melanda ketika ini boleh menjadikannya sebagai insiden terburuk dicatatkan dalam sejarah global.
Bandar Chongqing yang memiliki kira-kira 30 juta penduduk turut menyaksikan paras air Sungai Jialing iaitu anak sungai Yangtze, semakin surut dan mengering akibat kemarau yang berlaku.
Gara-gara mahu mengelak daripada cuaca panas, ratusan penduduk pertengahan umur dan yang lebih tua menuju ke stesen kereta api bawah tanah di bandar itu dan menghabiskan masa mereka dengan merokok, bermain kad dan tidur siang.
Ada antara mereka kelihatan berbaring di kerusi urut atau atas selimut, terdapat tukang cuci berehat, sementara yang lain pula adalah buruh kasar.
Malah, sejumlah penduduk lain pula hanya tinggal berdekatan kawasan itu atau tiada kerja lain untuk dilakukan.
Pemakaian pelitup muka dalam kalangan penduduk itu adalah sedikit dan jarang, walaupun peningkatan kes Covid-19 di bandar itu mewajibkan kira-kira 10 juta penduduk menjalani ujian saringan.
Seorang pengurus di pasar raya berdekatan mendakwa ramai penduduk yang meluangkan masa di stesen kereta api bawah tanah, mempunyai penghawa dingin di rumah mereka.
Katanya, penduduk berasa bosan di rumah dan mahu berseronok di lokasi itu dengan rakan-rakan mereka.
Rata-rata pengguna komuter yang tidak senang dengan situasi sesak itu terpaksa berhimpit untuk melepasi orang ramai.
Operasi perniagaan di bandar itu tetap diteruskan walaupun cuaca panas ekstrem.
BINA PERIGI TANGANI KEMARAU
Dalam pada itu, pasukan penggerudi bekerja berbelas jam setiap hari untuk membina perigi bagi menangani musim kemarau yang melanda sebahagian besar China.
Perkara itu dimaklumkan oleh petani di bandar Jiujiang di wilayah Jiangxi.
Gao Pucha, 42, yang mengetuai satu pasukan penggerudian di kampung Dashan di Jiujiang berkata, semua perkampungan itu sangat kering.
“Apabila kami mendapat notis untuk menggerudi perigi, kami bangun awal dan bekerja sehingga lewat malam.
“Kami bekerja lebih 15 jam sehari,” katanya.
Di sebuah lagi kampung berhampiran, seorang lelaki bernama Chen, 72, menelusuri sawah untuk mencari sisa beras penuai padi agar dapat dibawa pulang dan diberi makan kepada ayam ternakannya.
“Bijan, jagung, ubi keledek dan kapas di tanah kering semuanya sudah kering,” ujarnya.
Tambah Chen, hanya sawah padi boleh diisi dengan air dari takungan berhampiran.
Pada awal bulan ini, China mengeluarkan amaran kemarau kebangsaan ketika suhu tinggi yang dicatatkan terus mengakibatkan kawasan di sepanjang Sungai Yangtze terbakar.
Rabu lalu, wilayah Jiangxi menaikkan tindak balas amaran kemarau daripada tahap tiga kepada tahap empat, yang tertinggi dalam sistem di negara itu.
Wilayah Jiangxi merupakan satu daripada 13 wilayah pengeluar bijirin utama di China. – AFP/REUTERS