BEIJING: China menjalankan sesi latihan ketenteraan baharu di sekitar perairan Taiwan, hari ini, sekali gus mengingkari gesaan menamatkan latihan tersebut yang sepatutnya berakhir semalam.
Beijing juga mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balistik yang disifatkan oleh penganalisis sebagai tindakan untuk menyekat dan menceroboh ke atas pulau yang didakwa China sebagai wilayahnya.
Latihan terbesar ketenteraan China di sekeliling Taiwan dilihat semakin berakhir sejak semalam, susulan lawatan kontroversi Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke pulau itu, minggu lalu.
Latihan itu sepatutnya berakhir pada Ahad, namun Bejing mahupun Taipei tidak mengesahkannya meskipun Kementerian Pengangkutan Taiwan menyatakan pihaknya sudah melihat beberapa bukti yang menunjukkan berlaku pengurangan aset ketenteraan.
Beijing menjalankan ‘latihan di laut dan ruang udara mengelilingi Pulau Taiwan seperti yang dirancang’, menurut Markas Timur tentera China.
Kementerian Pertahanan Taipei mengesahkan China mengerahkan ‘pesawat, kapal dan dron seolah-olah sedang melancarkan serangan ke atas pulau utama Taiwan dan kapal-kapal di perairan itu’.
Pihaknya mengesan 66 pesawat tentera udara dan 14 kapal perang yang beroperasi di Selat Taiwan, dengan 22 daripadanya melintasi garis sempadan dan ruang lanjutan garis tidak rasmi di perairan yang memisahkan Taiwan dan China.
Beijing bagaimanapun tidak mengiktiraf garis sempadan tersebut.
Kementerian Pengangkutan Taiwan berkata, enam daripada tujuh ‘zon bahaya sementara’ dengan China memberi amaran kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya mengelakkan laluan di zon tersebut.
Jelasnya, zon ketujuh iaitu di perairan timur Taiwan akan terus dikekalkan sehingga pukul 10.00 pagi, hari ini.
Taipei menyatakan sebilangan laluan masih terjejas di kawasan ketujuh itu, dan pihak berkuasa akan terus memantau pergerakan kapal di sana.
Beijing juga mengumumkan sesi latihan baharu di Laut Kuning yang terletak antara China dengan semenanjung Korea akan dijalankan sehingga 15 Ogos depan.-AFP