BEIJING: China mengutuk sekeras-kerasnya lawatan Nancy Pelosi ke Taiwan dengan Kementerian Luar menegaskan tindakan itu menjejaskan keamanan dan kestabilan di selat tersebut.
“Lawatan itu `mempunyai impak teruk ke atas asas hubungan politik China-AS, malah secara serius melanggar kedaulatan China dan integriti wilayah.
“Tindakan ini seperti bermain dengan api dan sangat berbahaya. Orang yang bertindak demikian akan musnah,” jelas kementerian itu dalam kenyataan.
Dilaporkan, beberapa pesawat perang China melintasi sempadan yang memisahkan Selat Taiwan sebelum ketibaan Pelosi.
China mengecam dan menyifatkan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) itu ke Taiwan sebagai `sangat berbahaya’.
Malah, Beijing juga memberi amaran lawatan pemimpin nombor dua dalam senarai pengganti presiden AS itu, merupakan ancaman kepada kestabilan rantau itu.
Sejurus mengakhiri lawatannya ke Malaysia, Pelosi tiba di Taiwan pada lewat Selasa dalam perjalanan bagi menunjukkan solidariti AS dengan wilayah separa autonomi itu.
Taiwan merupakan sebuah negara demokrasi yang berkembang pesat, namun Parti Komunis China (PKC) yang memerintah di tanah besar itu menganggap Taiwan sebagai ‘sebahagian wilayahnya yang terpisah’.
Washington tidak mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara merdeka, namun terikat dengan undang-undang AS untuk menyediakan sumber kepada Taipei bagi tujuan pertahanan diri.
Pelosi menjelaskan alasannya mengadakan lawatan ke Taiwan dalam satu artikel disiarkan di Washington Post, beberapa minit selepas beliau tiba di negara tersebut.- AGENSI