YANGON: Pihak berkuasa di Myanmar menahan bekas Duta Besar Britain ke Myanmar, Vicky Bowman, kata tiga individu yang mengetahui situasi tersebut.
Menurut sumber, Bowman yang kini mengendalikan Myanmar Centre for Responsible Business (MCRB) bersama suaminya, Htein Lin ditahan di Yangon, semalam.
Lin merupakan artis warga Burma dan bekas tahanan politik.
Sumber memaklumkan Bowman dan suaminya didakwa melakukan kesalahan imigresen.
Berita penahanan itu muncul selepas Britain mengumumkan negara itu akan mengenakan sekatan baharu menyasarkan perniagaan berkaitan ketenteraan di Myanmar.
Malah, Britain juga memaklumkan pihaknya bakal menyertai kes melawan Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Britain merupakan negara keempat selepas Maldives, Belanda dan Kanada yang berikrar memberi sokongan kepada kes dibawa oleh Gambia yang mengheret Myanmar untuk menentukan sama ada tenteranya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Islam Rohingya pada 2016 dan 2017. – REUTERS