SINGAPURA: Seorang bayi masih memerlukan lagi kos sebanyak dua juta dolar Singapura (RM6.4 juta) bagi menjalani rawatan termahal di dunia.
Bayi bernama Zayn Nabeel Abdat berusia dua bulan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional Singapura kerana paru-parunya mengecil sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.
Difahamkan, dalam tempoh seminggu, lebih 1.1 juta dolar Singapura berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai, lapor berita.mediacorp.
Jika tiga juta dolar Singapura (RM9.6 juta) berjaya dikumpulkan, bayi itu mungkin menjadi kanak-kanak kedua di Singapura yang berjaya menjalani terapi gen dipanggil Zolgensma bagi Spinal Muscular Atrophy (SMA).
12 Ogos lalu, Zayn disahkan mengalami SMA atau sejenis gangguan genetik yang menjejaskan sel-sel saraf.
Sekiranya dia gagal mendapatkan rawatan, ototnya akan semakin lemah dan akhirnya lumpuh.
Ini bermakna, bayi itu akan hilang keupayaan untuk bergerak apatah lagi menghirup udara segara kerana bernafas juga memerlukan pergerakan otot.
SMA yang dialami Zayn boleh dirawat dengan terapi gen sekali sahaja-Zolgensma.
Rawatan itu mampu menghjalang keadaan si pesakit daripada bertambah buruk, tetapi kosnya mencecah tiga juta dolar Singapura.
Lebih membimbangkan lagi, bayi yang disahkan mengalami SMA Jenis 1 seperti Zayn didapati tidak mampu bertahan lebih dua tahun sekiranya tidak dapat menjalani rawatan.
Disebabkan itu, ibu bapa bayi itu, Nabeel Salim Abdat dan Syahirah Yakub melancarkan kempen mengumpulkan dana.