JAKARTA: Kasih sayang seorang bapa tiada tandingannya apatah lagi demi memenuhi keperluan anak-anak yang dikandung bagai menatang minyak yang penuh.
Seorang bapa dari Temenggung, Jawa Tengah, sanggup menabung dengan menyimpan duit syiling setiap bulan demi membelikan anak lelakinya sebuah meja belajar.
Kisah penuh pengajaran itu menjadi tular selepas sebuah video pendek dikongsikan dalam akaun TikTok beberapa hari lalu.
Pemilik akaun itu merupakan seorang penjual perabot yang memuat naik kisah mengenai pelanggannya.
“Hari ini, seorang bapa yang sangat hebat datang ke kedai saya. Dia sanggup menyimpan duit selama berbulan-bulan untuk membelikan anaknya meja belajar.
“Pelanggan itu memberitahu anaknya sudah lama mahukan meja belajar,” katanya.
Selepas melihat pelbagai jenis meja belajar, lelaki itu kemudian membeli meja belajar berwarna merah jambu dengan tema karakter My Little Pony.
Pelanggan itu kemudian mengeluarkan wang syiling yang dipisahkan ke dalam beberapa plastik untuk membayar meja belajar berharga sejuta rupiah.