Bangunan pencakar langit haram dirobohkan di India - Utusan Malaysia

Bangunan pencakar langit haram dirobohkan di India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NOIDA, India: Ribuan penduduk diarah mengosongkan pangsapuri mereka di pinggir New Delhi selama kira-kira 10 jam pada Ahad bagi memberi laluan kepada kerja-kerja merobohkan dua bangunan pencakar langit yang dibina secara haram.

Puluhan anggota polis dan kecemasan dikerahkan untuk operasi yang dijangka mengambil masa sembilan hingga 15 saat, membabitkan menara setinggi 103 meter yang mempunyai 850 unit pangsapuri tidak berpenghuni.

Trafik dilencongkan di sekitar menara Apex dan Ceyane di pinggir lebuh raya sibuk yang menghubungkan negeri paling ramai penduduk India, Uttar Pradesh, ke ibu negara.

Mahkamah Agung tahun lalu mengarahkan menara di kawasan Noida dirobohkan selepas pertikaian undang-undang yang panjang mendapati mereka melanggar beberapa peraturan bangunan dan norma keselamatan kebakaran.
Lebih 3,700 kilogram (kg) bahan letupan digunakan sekitar jam 2.30 petang. (0900 GMT) untuk memusnahkan blok apartmen melalui perobohan terkawal, kata pegawai kepada saluran berita tempatan.

Bangunan itu akan runtuh selepas bahan letupan yang diletakkan secara strategik diletupkan, memastikan kerosakan minimum pada kawasan kediaman.

Bagaimanapun beberapa keluarga mula berpindah ke tempat selamat pada Sabtu berikutan kebimbangan pencemaran yang semakin meningkat dan bahaya kesihatan daripada serpihan runtuhan.

Sudeep Roy, pemilik pangsapuri empat bilik berhampiran, berkata dia menempah bilik hotel minggu lalu untuk bermalam bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Adalah yang terbaik untuk menjauhkan diri dari tapak letupan selama 24 jam kerana udara akan menjadi toksik dan kita tidak tahu bagaimana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan kita,” kata Roy, seorang jurutera mekanikal dan bapa kepada anak kembar lelaki dengan seorang daripadanya menderita penyakit asma.

Letupan itu akan meninggalkan lebih 80,000 tan runtuhan, kebanyakannya akan digunakan untuk mengisi tapak dan selebihnya untuk dikitar semula.

Beberapa bangunan di sekitarnya ditutup dengan kepingan plastik putih untuk melindunginya daripada serpihan yang berterbangan selepas kerja-kerja merobohkan selesai.

Penduduk berkata mereka bimbang kerosakan harta benda akibat letupan, kejadian yang jarang berlaku di India walaupun pembinaan haram berleluasa. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya