BANGKOK: Pihak berkuasa Bangkok melaporkan, pihaknya menangkap kira-kira 60,000 ular setiap tahun dengan purata seekor ular akan ditemukan dalam masa 15 minit.
Talian kecemasan 199 sering dihubungi orang ramai mengenai penemuan ular, sama ada di premis perniagaan mahu pun rumah mereka setiap hari.
Lapor Bangkok Post, statistik itu dikeluarkan selepas satu gambar yang menunjukkan seekor ular sawa besar melingkar di atas pokok di daerah Din Daeng, sehingga mencetuskan panik dalam kalangan penduduk setempat.
Petugas di talian kecemasan Bangkok memaklumkan, mereka menerima kira-kira 200 panggilan setiap hari berkaitan penemuan haiwan, terutamanya ular selain tebuan dan biawak air.
Mereka menjelaskan, anggota keselamatan akan menangkap ular yang ditemukan dan menyerahkannya kepada Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan, sebelum kesemua haiwan itu dibebaskan ke dalam hutan.
Selain itu, pihak berkuasa juga menganggarkan 3,000 hingga 6,000 ular yang ditemukan tidak berjaya ditangkap dalam tempoh setiap tahun dan dipercayai ‘masih bebas’ di sekitar Bangkok.
Organisasi Taman Zoo menjangkakan terdapat sekitar 1,000 ular di setiap 50 daerah di seluruh Bangkok.
“Populasi ular yang tinggi di Bangkok disebabkan masyarakat di bandar ini tidak makan ular, sebaliknya haiwan pemangsa itu mempunyai ‘banyak mangsa’ seperti ular, kucing dan ayam.
“Kebanyakan ular yang ditangkap oleh pihak berkuasa adalah jenis phyton dan boa,” menurut organisasi itu.