JOHANNESBURG: Sekurang-kurangnya 150 burung hering yang sangat terancam diracun hingga mati dalam kejadian berasingan di Botswana dan Afrika.
Lapor AFP, penyokong pemuliharaan burung hering, Vulpro, memberi amaran pembunuhan besar-besaran mendorong burung pemakan bangkai itu berdepan kepupusan.
Pengasas Vulpro, Kerri Wolter berkata, dalam kejadian baharu, lebih 50 burung hering putih berbadan belakang putih (white-backed) ditemukan mati di utara daerah Chobe, Botswana, Jumaat lalu, manakala 100 lagi maut di Taman Negara Kruger Afrika Selatan sehari sebelumnya.
“Dalam kes keracunan ini, burung hering mati selepas memakan bangkai kerbau yang dicampuri racun.
“Kesan keracunan ini sangat besar. Sekarang adalah musim pembiakan, jadi, pasangan pembiakan burung hilang selama-lamanya dan anak burung hering tidak akan bertahan tanpa ibu bapa mereka,” katanya.
Burung hering berbadan belakang putih merupakan spesies burung terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Keracunan burung hering bukan perkara luar biasa di Afrika Selatan yang kaya dengan hidupan liar.
Burung hering sering menjadi mangsa pemburu haram kerana haiwan berkenaan menarik perhatian yang tidak diingini akibat aktiviti haram dilakukan mereka.
Menurut kumpulan hidupan liar, kepala burung hering juga digunakan dalam perubatan tradisional.
Untuk rekod, kematian burung hering yang terbesar pada 2019 di Botswana, apabila 537 bangkai ditemukan di rizab permainan Chobe selepas memakan tiga bangkai gajah yang dibunuh pembunuh haram.