KHARTOUM: Seorang wanita di Sudan dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati kerana disabit bersalah melakukan zina.
Kes itu yang pertama direkodkan di negara itu sejak hampir sedekad lalu.
Lapor The Guardian, Maryam Alsyed Tiyrab, 20, ditahan oleh polis di White Nile di Sudan pada bulan lalu.
Menurut Maryam, dia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Majoriti hukuman rejam yang dikenakan ke atas golongan wanita, dibatalkan di mahkamah tinggi.
Aktivis bimbang dan melihat hukuman terbabit sebagai petanda bahawa rampasan kuasa tentera yang berlaku di Sudan menyebabkan penggubal undang-undang menarik balik hak wanita ditetapkan di bawah kerajaan sebelum ini.
Sementara itu, Pusat Kajian Keadilan dan Keamanan Afrika (ACJPS) yang berpangkalan di Uganda memaklumkan hukuman itu melanggar undang-undang domestik dan antarabangsa.
ACJPS turut menggesa Maryam dibebaskan segera tanpa syarat.
Jelasnya, wanita itu tidak diberikan perbicaraan yang adil dan tidak dimaklumkan bahawa keterangan dibuat semasa soal siasat akan digunakan untuk menentangnya.
“Maryam juga dinafikan hak untuk mendapatkan wakil undang-undang,” jelasnya.
Tambah ACJPS, hukuman rejam merupakan satu bentuk penyeksaan yang dibenarkan negara dan melanggar hak asasi manusia.
Pada 2020, kerajaan peralihan Sudan selepas penyingkiran Omar al-Bashir, mengumumkan pembaharuan kepada beberapa undang-undang jenayah dan dasar syariah.
Pembaharuan itu tidak merangkumi hukuman rejam namun pada bulan Ogos, Sudan meratifikasi konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang penyeksaan.