LONDON: Seorang lelaki yang sebelum ini menerima kecaman hebat kerana sanggup meninggalkan isteri dan anak-anaknya demi menjalin hubungan cinta dengan pelarian Ukraine kini mengumumkan dia mahu berkahwin dengan wanita itu.
Tony Garnett memberitahu, dia sudah bersedia mendirikan rumah tangga dengan pelarian Ukraine, Sofiia Karkadym, 22, dan memulakan keluarga baharu.
Namun, impian itu mungkin sukar dicapai atau mustahil apabila Garnett sebelum ini sudah menjalani pembedahan vasektomi selepas mempunyai dua anak dengan bekas isterinya.
“Saya ingin melamar wanita cantik ini segera dan kami sudah bersedia memulakan keluarga baharu,” kata Garnett seperti yang dilaporkan Daily Mail.
Dalam pada itu, Karkadym berharap prosedur vasektomi yang pernah dilakukan Garnett dapat diubah kembali bagi membolehkan mereka memiliki cahaya mata selepas berkahwin.
Garnett, 29, sebelum ini dikecam selepas meninggalkan isterinya yang dikahwini selama 10 tahun untuk bersama dengan Karkadym yang datang ke Britain sebagai pelarian Ukraine susulan peperangan yang berlaku.
Garnett membuat keputusan untuk bersama wanita tersebut selepas 10 hari Karkadym tiba di Britain.
Kini, pasangan kekasih itu sudah berkenalan selama dua bulan dan merancang untuk melawat keluarga Karkadym di Ukraine untuk meminang wanita tersebut.
dalam pada itu, Garnett mengakui dia dan Karkadym masih menerima kecaman daripada banyak pihak yang melabelkan mereka sebagai pentingkan diri dan lupa daratan.
Namun, pasangan itu enggan memikirkannya dan meneruskan hubungan seperti biasa.
“Perpisahan dalam hubungan adalah perkara biasa, jatuh cinta dengan orang lain juga perkara biasa, kenapa perlu diperbesarkan? Soalnya.