BANGKOK: Thailand mengesahkan kes pertama cacar monyet membabitkan seorang warga Nigeria berusia 27 tahun yang melakukan perjalanan dari Nigeria ke Phuket.
Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Opas Karnkawinpong, berkata, lelaki itu jatuh sakit kira-kira seminggu dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di pulau peranginan itu.
“Pesakit itu mengalami simptom seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair dan ruam, kemudian menjalani ujian PCR yang didapati positif cacar monyet pada Selasa,” katanya dalam kenyataan.
Jawatankuasa Kawalan Penyakit Kebangsaan mengesahkan ia adalah kes pertama cacar monyet di Thailand.
Dr Opas berkata, pihak berkuasa kesihatan diarahkan untuk meningkatkan pengawasan bagi mengekang penularan cacar monyet.
Cacar monyet merupakan penyakit virus yang jarang berlaku dan pernah merebak di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah dan Barat.
Lonjakan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu di kawasan lain di luar negara Afrika Barat dan Afrika Tengah.
Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan semula Jawatankuasa Kecemasan Cacar Monyet untuk menilai implikasi kesihatan awam akibat wabak itu memandangkan kes global melepasi 14,000, dengan enam negara melaporkan kes pertama mereka minggu lalu.-AGENSI