Thailand bakal laksana kembiri kimia tangani jenayah seks  - Utusan Malaysia

Thailand bakal laksana kembiri kimia tangani jenayah seks 

BANDUAN berdiri di padang di Pusat Pemulihan bagi  Penagih Dadah di Bangkok, Thailand. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand semakin hampir memperkenalkan kaedah kembiri secara kimia sebagai antara langkah untuk menangani jenayah seks di negara itu.

Baru-baru ini, penggubal undang-undang meluluskan rang undang-undang yang akan memberi pesalah hak untuk memilih prosedur itu sebagai balasan kepada pengurangan hukuman penjara.

Rang undang-undang itu yang melepasi Dewan Rakyat pada Mac lalu, diluluskan oleh 145 senator, dengan dua lagi berkecuali.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu masih memerlukan satu lagi pengundian, sebelum pewartaan diraja.

Data dari jabatan pemulihan menunjukkan seramai 4,818 daripada 16,413 pesalah seks yang disabitkan bersalah dan dibebaskan dari penjara antara 2013 hingga 2020, masih mengulangi kesalahan yang sama.

Di bawah rang undang-undang tersebut, pesalah seks tertentu yang dianggap berisiko melakukan kesalahan sama boleh diberi pilihan untuk menerima suntikan yang mengurangkan tahap testosteron mereka.

Ia sebagai balasan untuk tempoh penjara yang lebih singkat, dengan syarat mereka mendapat kebenaran daripada dua doktor.

Berdasarkan rang undang-undang itu, pesalah akan dipantau selama 10 tahun dan dikehendaki memakai gelang pemantauan elektronik. 

Sekiranya diluluskan, maka Thailand akan menyertai sekumpulan kecil negara antaranya Poland, Korea Selatan, Russia, Estonia dan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kaedah kembiri secara kimia.

Sementara itu, Menteri Kehakiman Thailand, Somsak Thepsuthin memaklumkan pihaknya mahu undang-undang itu diluluskan dengan segera.

“Saya tidak mahu melihat berita mengenai perkara buruk berlaku kepada wanita negara ini lagi,” katanya. – REUTERS 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya