Terus tunjuk trend peningkatan, cacar monyet bakal atasi Covid-19?

Terus tunjuk trend peningkatan, cacar monyet bakal atasi Covid-19?

CACAR monyet setakat ini sudah menjangkiti hampir 17,000 orang di 74 negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin mengisytiharkan wabak cacar monyet yang setakat ini sudah menjangkiti hampir 17,000 orang di 74 negara sebagai darurat kesihatan global.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam sidang akhbar memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan penularan wabak itu secara global dan kebimbangan pelbagai pihak mengenainya.

Katanya, pasukan pakar yang mengadakan pertemuan pada Khamis lalu gagal mencapai kata putus mengenai wabak tersebut, sehubungan itu, beliau memutuskan untuk mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kesihatan global.

“Penilaian WHO mendapati risiko cacar monyet adalah sederhana secara global di kebanyakan negara, kecuali di Eropah,” katanya.

Cacar monyet setakat ini menjangkiti lebih 16,800 orang di 74 negara, menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat pada 22 Julai lalu.

Dalam pada itu, Washington menyambut baik keputusan yang dibuat oleh WHO dan menggesa seluruh dunia bekerjasama untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

“Kerjasama dan kefahaman global dapat membantu menghentikan penularan cacar monyet, sekali gus melindungi komuniti daripada dijangkiti wabak itu,” kata Raj Panjabi, Pengarah Kanan Jabatan Pertahanan Bio dan Keselamatan Kesihatan Global di White House.

Peningkatan penularan cacar monyet di luar negara Barat mula direkodkan pada awal Mei lalu, manakala penyakit itu sudah lama bertapak di Amerika Tengah.

Secara keseluruhannya, sebanyak 98 peratus individu yang dijangkiti merupakan lelaki gay yang melakukan hubungan seks sejenis.

Sehubungan itu, Ghebreyesus menegaskan, stigma masyarakat terhadap golongan tersebut dikhuatiri boleh menjadikan penularan wabak itu semakin sukar untuk dikesan.

Hal ini kerana, golongan tersebut akan berasa seperti ‘dimalukan dan dipandang serong’ oleh masyarakat.

Jelas Ghebreyesus, perkara itu boleh ditangani dengan pendekatan yang sewajarnya.

Tegasnya, semua negara perlu ‘berkomunikasi dan bekerjasama’ dengan golongan berkenaan supaya maklumat mengenai cacar monyet dapat disalurkan dengan tepat, sekali gus meningkatkan pemahaman bagaimana penyakit itu tersebar.

VAKSIN

Pada 23 Jun, WHo mewujudkan jawatankuasa pakar untuk memutuskan sama ada cacar monyet boleh diisytiharkan sebagai Kebimbangan Antarabangsa Mengenai Darurat Kesihatan Awam, iaitu tahap amaran tertinggi yang dikeluarkan oleh agensi tersebut.

Namun, majoriti menasihatkan Ghebreyesus bahawa situasi itu masih belum sampai ke ‘peringkat ancaman’.

Kemudian, pertemuan kedua diatur pada Khamis lalu berikutan peningkatan jumlah kes dan disebabkan jawatankuasa berkenaan masih belum memutuskan apa yang perlu dilakukan, maka Ghebreyesus mengisytiharkan cacar monyet sebagai darurat kecemasan global.

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap 528 orang di 16 negara, 95 kes jangkitan adalah menerusi aktiviti seksual.

Keadaan itu menyebabkan Agensi Ubatan Kesatuan Eropah mencadangkan kelulusan penggunaan vaksin Imvanex untuk merawat cacar monyet.

Imvanex yang dikeluarkan syarikat ubatan Denmark, Bavarian Nordic diluluskan penggunaannya di EU sejak 2013 bagi mencegah penularan demam campak.

Antara gejala dijangkiti cacar monyet termasuk demam, sakit kepala, sakit otot dan sakit belakang dalam tempoh lima hari.

Cacar kebiasaannya keluar pada muka, tapak tangan dan kaki, diikuti dengan melepuh, luka dan kudis. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya