SINGAPURA: Perkhidmatan bas dan teksi merentasi sempadan Singapura dan Malaysia dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Mei lalu, kira-kira dua tahun selepas pengangkutan awam itu digantung akibat pandemik Covid-19.
Pada masa sama, Persatuan Pengusaha Teksi Singapura-Johor dilaporkan memohon kepada Majlis Pengangkutan Awam Singapura (PTC) untuk menaikkan tambang kepada 15 dolar Singapura (RM47) atau 60 dolar Singapura (RM188) bagi setiap teksi.
Syarikat teksi Singapura seperti ComfortDelGro dan Strides Taxi menerusi media sosial mengumumkan akan berlaku kenaikan tambang bagi perjalanan rentas sempadan.
Difahamkan, perubahan harga itu akan bermula Isnin depan termasuk perjalanan dari terminal teksi Ban San Street di Rochor ke Larkin Sentral, Johor Bahru dari 48 dolar Singapura (RM151) ke 60 dolar Singapura (RM188).
Tambang dari Lapangan Terbang Changi atau Seletar ke Larkin Sentral akan naik dari 80 dolar Singapura (RM251) ke 120 dolar Singapura (RM377).
Bagi lokasi lain di Singapura ke Larkin Sentral juga akan dinaikkan dari 60 ke 80 dolar Singapura.
Sementara itu, tambang teksi Singapura dari Larkin Sentral ke mana-mana destinasi di Singapura tidak termasuk terminal teksi Ban San Street akan naik dari 55 dolar Singapura (RM173) ke 60 dolar Singapura, atau 70 dolar Singapura (RM220) bagi penumpang yang membuat tempahan awal.
Perjalanan Larkin Sentral ke Ban San Street menggunakan teksi berdaftar Singapura masih kekal dengan harga RM120.
PEMANDU TEKSI LEGA
Dalam pada itu, pemandu teksi berdaftar di Singapura bersyukur dengan kenaikan harga tambang yang membantu mereka menampung kos sewa kenderaan dan harga minyak.
Haniff Mahdob yang sudah memandu teksi sejak sedekad lalu antara kedua-dua negara berkata, kenaikan tembang itu ‘sudah ditunggu sejak sekian lama’.
Katanya, tambang teksi tidak pernah dikaji sejak lebih sedekad.
“Beberapa tahun lalu, harga sewa teksi sudah naik. Kos minyak juga turut naik, tetapi tambang perjalanan antara Singapura dan Johor kekal sama.
“Syukur akhirnya tambang dinaikkan dan sudah tentu memberi peluang kepada pemandu seperti kami menjana sedikit pendapatan atau menampung balik kerugian akibat pandemik,” katanya.
Pemandu teksi Singapura lain yang hanya mahu dikenali sebagai Jeffri berharap kenaikan tambang itu dapat membantu dirinya berdepan kos sara hidup harian.
“Hari ini harga minyak petrol naik dan kebanyakan pemandu teksi hanya mampu mendapat satu atau dua kali perjalanan sehari.
“Tambang yang naik bagi setiap perjalanan membuatkan pemanduan kami lebih berbaloi,” katanya.
RAKYAT MALAYSIA RESAH
Penumpang tetap yang ditemui wartawan Channel News Asia meluahkan mereka terpaksa menanggung beban akibat kenaikan harga teksi berdaftar Singapura.
Sudah tentu yang terbeban adalah rakyat Malaysia yang kerap menggunakan pengangkutan awam berulang-alik pergi kerja setiap hari.
Abdul Hamid yang bekerja di industri perkapalan di Singapura sering menaiki teksi pada waktu malam semasa perkhidmatan bas tidak disediakan.
“Saya terkesan dengan kenaikan tambang teksi. Harga naik hampir 25 peratus dari Ban San Street ke Larkin. Pahit untuk ditelan terutamanya apabila berlaku inflasi di semua tempat,” luahnya.
Bagi Chng Wen Xin, 32, yang bekerja dalam industri makanan dan miuman di Singapura, dia sering berkongsi harga tambang teksi dengan rakannya yang lain.
Dia kecewa kerana sudah berdepan kenaikan harga barangan di Malaysia dan sekarang terpaksa berdepan kenaikan tambang teksi di Singapura pula.-CNA