BUENOS AIRES: Lebih 400 orang termasuk pelancong dan pemandu lori dilaporkan terkandas dalam ribut salji di pergunungan Andes berhampiran sempadan Argentina-Chile, dengan suhu menjunam ke bawah paras beku.
Menurut pihak berkuasa, di Argentina, seramai 120 orang diselamatkan oleh polis dan tentera manakala 200 lagi masih terperangkap pada ketinggian 3,000 meter.
Pegawai polis Hector Castro berkata, lebih 200 orang juga masih terkandas di bahagian Chile.
Pegawai tempatan di kampung Las Heras di Argentina, Hector Tello memaklumkan bacaan suhu -10 darjah Celsius dengan salji setebal lebih satu meter menutupi jalan raya.
Ribut salji kuat melanda Sabtu lalu sehingga menjejaskan jalan pergunungan menghubungkan kedua-dua negara dan mengakibatkan lebih 300 kenderaan terkandas sepanjang laluan tersebut.
Wilayah terbabit, kira-kira 1,200 kilometer dari barat Buenos Aires, dilanda cuaca sejuk melampau.
Penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di bandar berdekatan. – AFP