OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau tampil dengan gaya rambut baharu dalam satu acara selepas membatalkan lawatannya ke sebuah kilang Ottawa.
Lapor Daily Mail, Trudeau dilihat dengan imej rambut jauh lebih pendek berbanding biasa ketika sedang melawat kanak-kanak di sebuah kem di Taman Gatineau di Quebec pada awal minggu lalu.
Penduduk yang terbiasa melihat Trudeau berambut panjang agak terkejut penampilan baharu pemimpin itu yang memakai kemeja putih dan seluar jeans ketika mengadakan lawatan ke taman dan dua acara di pinggir bandar Ottawa.
Sejak Trudeau memegang jawatan tertinggi itu pada 2015, pemimpin berusia 50 tahun itu sentiasa mengekalkan gaya rambut sama.
Tidak dapat dipastikan apa yang mendorong Trudeau melakukan perubahan tersebut.
Gambar penampilan baharu Trudeau mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial termasuk ada yang membandingkannya dengan watak terkenal pelakon Jim Carrey dalam filem Dumb and Dumber.
Pengguna media sosial turut memuat naik gambar Trudeau dengan Carrey yang menampilkan gaya rambut ‘mangkuk’ dari filem komedi terkenal itu.
“Saya tidak dapat mengalihkan pandangan daripada melihat rambutnya.
“Apa terjadi pada rambutnya? Beliau kelihatan seperti lelaki dari filem Dumb and Dumber,” kata seorang pengguna media sosial.
Ramai juga pengguna media sosial yang mempersoalkan jika Trudeau menggunting rambutnya sendiri sehingga ia kelihatan ‘unik’.