COLOMBO: Rambut Milton Pereira disikat dengan kemas namun mukanya cengkung dan susuk badannya pula kurus kering dan kelihatan lemah.
Seperti kebanyakan warga Sri Lanka lain, Milton dan keluarganya tidak mampu membeli makanan yang mencukupi.
“Sangat sukar untuk hidup, malah sebungkus roti pun mahal.
“Kami makan sekali sahaja dan kemudian tak makan lagi,” katanya dalam temubual di luar rumahnya di Pulau Slave, Colombo.
Dilaporkan, ramai penduduk Sri Lanka kini mempunyai kuasa membeli terhad serta kurang makan dan bekerja.
Situasi tersebut berlaku ketika Sri Lanka dilanda krisis kewangan paling buruk sejak tujuh dekad lalu, sehingga mendorong inflasi berleluasa dan protes besar-besaran yang menjatuhkan Presiden negara itu.
Dengan mempunyai enam orang anak, lelaki berusia 74 tahun itu berkata, sejak beberapa minggu lalu, dia hanya mampu membeli ikan sekali sekala, yang dipotong kecil untuk dikongsikan bersama keluarganya.
“Oleh kerana tidak cukup duit, kadang-kala kami akan beri ikan kepada anak-anak dan orang dewasa akan makan kuah sahaja,” katanya.
Para pengkritik berpandangan selain pandemik Covid-19, krisis kewangan negara diburukkan lagi oleh salah urus pentadbiran kerajaan.
Anak lelaki Milton iaitu BG Rajitkumar yang bekerja sebagai buruh dilaporkan menganggur selama sebulan.
“Harga makanan meningkat hampir setiap hari. Kenaikan itu adalah paling mengerikan yang pernah kami alami,” katanya.
Berdasarkan data rasmi, kadar inflasi makanan di Sri Lanka mencecah 80.1 peratus pada tahun ini sehingga Jun.
Tinjauan harga sayuran di beberapa premis mendapati penduduk terpaksa membayar 1,000 rupee (RM12.47) untuk sekilo labu, dua kali ganda berbanding harga sayuran itu tiga bulan lalu.
Seorang penjual sayur, Mohamad Faizal mengakui pelanggannya kini hanya mampu membeli sayuran sekurang-kurangnya 100 gram sekali.
“Harga sudah naik, punca utamanya adalah tiada cara untuk menghantar barangan tersebut kerana tiada bahan api,” katanya.
TIADA PILIHAN
Dengan ketiadaan rizab pertukaran asing bagi import dan kegagalan membayar hutang negara luar berjumlah AS$51 bilion (RM227.28 bilion), Sri Lanka kini berdepan kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan barang keperluan lain.
Menurut Program Makanan Sedunia, kira-kira lima juta orang atau 22 peratus penduduk negara itu kini memerlukan bantuan makanan.
Berdasarkan penilaian terbaharunya, lebih lima daripada setiap enam keluarga didapati tidak cukup makanan, kurang makan atau membeli makanan yang sudah rosak.
Meskipun bekalan makanan tidak mengalami kekurangan namun isunya adalah kemampuan penduduk untuk melakukan pembelian.
Beberapa peniaga pasar borong sayuran memaklumkan perniagaan mereka merosot sehingga menyusut lebih separuh sejak Mac lalu.
Peniaga MM Mufeed berkata, harga untuk semua barang meningkat dua kali ganda.
“Malah, sayur yang tidak dijual akan dibuang dan ramai orang miskin membawa pulang sayuran tersebut setiap hari selepas pasar ditutup,” katanya.
Jelasnya, jualan sayurannya menurun sebanyak 70 peratus.
“Kadang kala saya menjual sayur kepada orang miskin dengan harga lebih murah bagi mengelak pembaziran makanan dan meraih sedikit keuntungan,” katanya.
Ahli perniagaan import-eksport, Ashley Jennycloss berkata, kentang, bawang merah dan bawang putih masih terus diimport dari India, Pakistan dan China.
TANAM SAYURAN SENDIRI
Seorang bekas penjawat awam, Theodore Rajapakse mengajar penduduk cara menanam sayur-sayuran yang cepat tumbuh di kawasan kecil berhampiran rumah mereka.
“Negara saya kini dalam kesusahan, jadi anda boleh menanam 100 kilogram (kg) labu di sebidang tanah seluas tiga kaki,” katanya.
BANTAH PENCALONAN WICKREMESINGHE
Pelajar dan beberapa kumpulan lain membantah pencalonan Ranil Wickremesinghe sebagai presiden baharu Sri Lanka.
Perdana menteri itu mengambil alih sebagai pemangku presiden selepas Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Singapura dan meletakkan jawatan.
Setakat ini, tiga individu dicalonkan untuk menggantikan Rajapaksa.
Parlimen mengumumkan Wickremesinghe akan menentang bekas menteri pendidikan, Dullas Alahapperumadan pemimpin berhaluan kiri, Anura Dissanayake dalam undian rahsia.
Ketua pembangkang, Sajith Premadasa menarik diri daripada pencalonan presiden Sri Lanka untuk menyokong Alahapperuma. – AFP/REUTERS