COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa diterbangkan ke sebuah pangkalan udara berhampiran lapangan terbang utama di sini kelmarin, sekali gus mencetuskan spekulasi beliau bakal menjalani ‘hidup dalam buangan’ di luar negara.
Terdahulu, Rajapaksa meninggalkan kediamannya di sini dengan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan, beberapa jam sebelum ratusan ribu penunjuk perasaan menyerbu rumahnya.
Tidak lama kemudian, speaker Parlimen mengumumkan Rajapaksa bersetuju meletak jawatan sebagai presiden negara ini pada 13 Julai.
Sejak itu, pemimpin berusia 73 tahun tersebut berlindung di kemudahan tentera di bahagian timur laut negara ini sebelum dibawa ke pangkalan udara Katunayake.
“Rajapaksa dan keluarganya diterbangkan semula ke Colombo dengan menaiki dua helikopter,” menurut sumber kerajaan.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar Rajapaksa dan beberapa media tempatan melaporkan beliau melakukan perjalanan ke Dubai untuk ‘meneruskan kehidupan baharu’.
Namun, pihak berkuasa lapangan terbang memaklumkan, sebanyak empat penerbangan berlepas ke Asia Barat, namun tiada satu daripadanya dinaiki Rajapaksa dan keluarganya.
Kemudian, Rajapaksa dilaporkan terbang bersama keluarganya ke Maldives pada awal pagi ini dan berjanji akan ‘menyelesaikan masalah yang berlaku dengan segera’.
Selain itu, terdapat laporan mendakwa anggota imigresen enggan masuk ke dalam bilik persendirian untuk mengecap pasport Rajapaksa, sebaliknya meminta beliau ke ruangan biasa untuk melakukan prosedur tersebut.
Hal ini disebabkan banyak pegawai kerajaan ‘berasa malu’ dengan sikap yang ditunjukkan Rajapaksa ketika rakyat dan negaranya bergolak.
Namun, Rajapaksa enggan berbuat demikian dan menegaskan beliau mahu berada di bilik berkenaan.
Sumber ketenteraan pula memaklumkan, pemimpin itu diberi pilihan untuk melakukan perjalanan dengan menaiki pesawat tentera dan bukannya komersial.
PM TIDAK MAHU JADI PRESIDEN
Dalam pada itu, Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe mengesahkan Rajapaksa berhasrat meletak jawatan, namun tidak mendedahkan tarikh sebenar.
Sekiranya Rajapaksa meletak jawatan, kedudukannya secara automatik akan digantikan oleh Wickremesinghe sebagai pemangku presiden sehingga calon sebenar dipilih oleh Parlimen Sri Lanka.
Namun, Wickremesinghe enggan menggalas tanggungjawab itu dan memaklumkan beliau secara sukarela akan meletak jawatan sebagai perdana menteri negara ini bagi membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk.
Proses ‘penggantian pemimpin’ itu boleh berlangsung selama tiga hari iaitu tempoh maksimum yang diambil untuk meyakinkan Parlimen dan maksimum 30 hari untuk membenarkan ia sah di sisi undang-undang.
Jika Rajapaksa meletak jawatan pada 17 Julai ini, maka proses pengundian calon presiden dilakukan pada 20 Julai.
Parti pembangkang utama, Samagi Jana Balawegaya (SJB), mengadakan perbincangan dengan kumpulan politik kecil semalam untuk mendapatkan sokongan kepada pemimpin mereka, Sajith Premadasa, 55, yang kalah dalam pilihan raya presiden 2019.
Bekas penyokong setia Rajapaksa, Dullas Alahapperuma, 63, iaitu bekas Menteri Media, dijangka menjadi perdana menteri baharu, menurut seorang penggubal undang-undang SJB yang terbabit dalam rundingan itu.
Lima menteri meletak jawatan pada hujung minggu dan pejabat Wickremesinghe berkata Kabinet bersetuju semalam untuk meletakkan jawatan secara beramai-ramai sebaik saja persetujuan dicapai mengenai ‘kerajaan semua parti’.
DUIT DISERAHKAN KE MAHKAMAH
Sebelum itu, sebanyak 17.85 juta rupee atau bersamaan AS$50,00 (RM221,757) wang tunai yang ditemukan oleh penunjuk perasaan di kediaman Rajapaksa diserahkan kepada mahkamah.
Sementara itu, penunjuk perasaan pula enggan keluar dari kediaman Rajapaksa dan mereka menegaskan untuk terus tinggal di sana dan ‘menggunakan semua kemudahan yang ada’.
Mereka menegaskan, kediaman Rajapaksa akan terus dikepung sehingga beliau meletak jawatan secara rasmi. – AFP