JAIPUR: Polis di Rajasthan bertindak melarang perhimpunan awam dan menyekat perkhidmatan internet bagi mengelakkan tercetusnya keganasan agama di India.
Tindakan itu diambil selepas dua individu beragama Islam memuat naik video yang mendakwa bertanggungjawab membunuh seorang penduduk Hindu di bandar Udaipur.
Pegawai kanan polis di Rajasthan, Hawa Singh Ghumaria berkata, dua suspek kini sedang disoal siasat oleh pasukan penyiasat Persekutuan.
Katanya, polis Rajasthan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak sebarang pergolakan tercetus di negeri itu.
“Kami menerima arahan tegas untuk menghalang sebarang bentuk protes atau demonstrasi yang dirancang untuk mengutuk pembunuhan itu,” katanya.
Jelas beliau, perbuatan jenayah itu mengejutkan seluruh negara.
Dalam video tersebut, dua lelaki yang memegang pisau pemotong daging memaklumkan mereka membalas dendam atas penghinaan dilakukan oleh mangsa terhadap Nabi Muhammad SAW.
Mereka juga merujuk kepada bekas jurucakap parti pemerintah Hindu Bharatiya Janata Party (BJP), Nupur Sharma berhubung kenyataan mengenai Nabi Muhammad awal bulan ini sehingga mencetuskan kemarahan dalam dan luar negara.
Menteri Dalam Negeri, Amit Shah dalam satu ciapan mengesahkan pasukan penyiasat Persekutuan mengambil alih kes pembunuhan Kanhaiya Lal Teli yang juga merupakan tukang jahit.
“Penglibatan mana-mana organisasi dan rangkaian antarabangsa akan disiasat secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, seorang pentadbir bandar di Udaipur, Bhawarral Thoda berkata, dua penyerang mengelar kepala dan tekak Kanhaiya Lal dalam satu serangan ketika mangsa sedang mengambil ukuran.
Bhawarral berkata, tukang jahit itu sudah ditahan atas tindakan memuat naik hantaran menyokong kenyataan jurucakap BJP yang dikesan melalui telefon bimbitnya.
Selepas dibebaskan, Kanhaiya Lal memberitahu polis pada 15 Jun lalu bahawa dia menerima ancaman dari beberapa kumpulan. – REUTERS