JAKARTA: Sejumlah murid di sebuah sekolah rendah di Mamasa, Sulawesi Barat membuat aduan kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) selepas mereka tidak dapat meneruskan pembelajaran.
Hal ini kerana, ramai guru di sekolah tersebut tidak hadir untuk mengajar.
Keluhan dan aduan para murid tersebut mula mendapat perhatian selepas mereka hasilkan poster dan gambar mereka tular dalam media sosial.
Menerusi imej yang dikongsi, kelihatan dua murid memegang poster bertuliskan aduan mereka kepada Jokowi.
“Pak Jokowi, kami jarang ke sekolah kerana banyak guru tidak hadir mengajar.
“Kami memerlukan pendidikan yang sewajarnya dan kami perlukan guru yang sentiasa hadir ke sekolah untuk membimbing kami,” jelas keterangan dalam poster terbabit.
Imej dua murid memegang poster itu dikongsi seorang pengguna Facebook, Achmad Faisal Dinejad, baru-baru ini.
Achmad menerusi Facebooknya menulis ‘Mamasa masih kaya dengan budaya dan sumber alam semula jadi, namun juga tidak dapat lari dari masalah yang masih berlaku’.
‘Masalah yang masih belum selesai hingga kini adalah pendidikan,’ tulisnya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.
Selain itu, Achmad juga mempersoalkan kesejahteraan guru sambilan di sekolah tersebut yang hanya dibayar gaji sebanyak 300,000 rupiah (RM89) bagi setiap tiga bulan.
“Di sekolah itu, hanya tiga guru sukarelawan yang datang mengajar setiap hari dan mereka mengajar secara bergilir.
“Guru lain di mana? Apa yang mereka buat? Bagaimana tiga guru boleh ajar semua kelas?,” Soalnya.
Achmad turut memaklumkan dia pernah berjumpa dengan guru besar sekolah itu, namun tiada perubahan yang berlaku.
Malah, pemuda itu pernah menganjurkan demonstrasi mengenai keadaan di sekolah tersebut agar mendapat perhatian pihak berkepentingan.