GENEVA: Malaysia tersenarai dalam kedudukan ke-18 negara paling aman di dunia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022 yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia.
Laporan yang disediakan oleh Insitut Ekonomi dan Keamanan (IEP) membentangkan analisis yang dipacu data paling komprehensif mengenai petunjuk aliran keamanan, nilai ekonomi serta cara memupuk masyarakat yang aman.
GPI meliputi 99.7 peratus penduduk dunia dengan menggunakan 23 penunjuk kualitatif dan kuantitatif daripada sumber yang sangat dipercayai.
Data itu mengukur aspek keamanan merentas tiga faktor utama iaitu tahap keselamatan masyarakat, perkembangan konflik domestik dan antarabangsa serta tahap ketenteraan.
GPI menggunakan indeks komposit yang mengukur kedamaian sesebuah negara pada skala satu hingga lima.
Semakin rendah markah yang dicatat, semakin aman negara tersebut.
Berdasarkan dapatan itu, Iceland merupakan negara paling aman di dunia dengan skor 1.10, diikuti New Zealand (1.26), Ireland (1.28) dan Denmark (1.29).
Singapura (1.32) merupakan negara Asia paling aman di dunia yang berada di kedudukan kesembilan, diikuti Jepun (1.33) dan Malaysia (1.47).
AFGHANISTAN PALING TAK AMAN
Secara keseluruhannya, keputusan GPI 2022 menunjukkan tahap purata keamanan global merosot sebanyak 0.03 peratus.
Walaupun jumlah penurunan yang agak sedikit, ia merupakan kemerosotan kesebelas dalam indeks keamanan bagi tempoh empat belas tahun lalu.
GPI juga menunjukkan kedudukan 90 negara bertambah baik, 71 negara merosot dan dua negara kekal stabil dalam rekod keamanan dunia.
Dalam pada itu, Afghanistan kekal menjadi negara paling tidak aman di dunia, diikuti oleh Yemen, Syria, Russia dan Sudan Selatan buat tahun kelima berturut-turut.
KESAN KONFLIK DI UKRAINE
Dua dari lima negara yang mengalami kemerosotan terbesar dalam rekod keamanan adalah Russia dan Ukraine.
Media sosial juga mengubah cara sesebuah maklumat dikumpulkan. Platform itu kini dikongsikan serta-merta, maklumat yang mentah dengan hanya sedikit analisis.
Berbeza aliran global, sentimen positif di Ukraine meningkat sejak tahun lalu.
Sokongan untuk Barat juga adalah kuat dengan 58 peratus mahu Ukraine menyertai kesatuan ekonomi Barat dan 54 peratus menyokong negara itu menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
FAKTA RINGKAS:
*Aspek ketenteraan bertambah baik di 113 negara sejak 2008.
*70 negara tidak mencatatkan sebarang serangan keganasan pada 2021 sekali gus menandakan keputusan terbaik sejak 2008.
*Kenaikan kos bahan mentah meningkatkan ketidakamanan makanan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia. Afrika, Asia Selatan dan Asia Barat di bawah ancaman terbesar.
*Skala keganasan politik, ketidakstabilan politik, pelarian dan hubungan negara jiran mencapai skor paling teruk sejak penubuhan GPI.
*Kesan ekonomi global akibat keganasan adalah AS$16.5 trilion (RM66 trilion) pada 2021, bersamaan 10.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, atau AS$2,117 (RM9,427) setiap orang.
NEGARA PALING AMAN
- Iceland
- New Zealand
- Ireland
- Denmark
- Austria
- Portugal
- Slovenia
- Republik Czech
- Singapura
- Jepun
- Malaysia
NEGARA PALING TIDAK AMAN
- Afghanistan
- Yemen
- Syria
- Russia
- Sudan Selatan