KAMPALA: Seorang wanita dari Uganda terpaksa membesarkan anak kesembilan dan kesepuluhnya bersendirian selepas suaminya mengambil keputusan meninggalkan isterinya.
Ssalongo bertindak keluar dari rumah selepas wanita tersebut melahirkan anak kembar kelima mereka yang dianggapnya sebagai ‘tidak normal’.
Nalongo Gloria kini terpaksa menempuh cabaran besar membesarkan kesemua anaknya tanpa suami di sisi.
“Suami saya cakap ini terlalu berat untuknya ketika mengetahui saya hamil anak kembar.
“Saya tidak pernah menyesal melahirkan semua anak ini. Saya tahu bapa mereka tidak menyukai mereka, dan saya tidak boleh meninggalkan anak-anak bersama bapa mereka,” luahnya kepada media tempatan, NTV Mwasuze Mutya.
Walaupun berdepan cabaran, wanita itu tidak akan sesekali meninggalkan anak-anaknya kerana yakin Tuhan akan memberi rezeki.
“Saya menyerahkan semuanya kepada Tuhan, walaupun menderita tetapi Tuhan lebih mengetahui,” katanya.
Ibu kepada 10 anak itu berkata, dia runsing memikirkan untuk mencari kediaman baharu bagi anak-anaknya selepas tidak mampu lagi membayar tunggakan sewa.