COLOMBO: Ketiadaan bekalan ubat dan petugas perubatan termasuk jururawat serta doktor yang tidak dapat melakukan tugasan mereka disebabkan kekurangan bahan api menyebabkan kebanyakan hospital di Sri Lanka ‘terbiar tidak berpenghuni’.
Keadaan itu juga menyaksikan pesakit sedia ada tidak menerima rawatan yang sepatutnya dan ‘hanya menunggu’ sehingga krisis yang berlaku kembali reda.
Seorang pesakit kencing manis, Theresa Mary menceritakan, doktor memintanya membeli bekalan ubat di farmasi berikutan tiada bekalan di hospital.
“Namun, saya tiada duit, bagaimana saya boleh beli ubat di farmasi?
“Saya ingatkan, selepas datang ke Colombo, saya boleh dapatkan rawatan yang sepatutnya, namun saya hampa kerana keadaan di sini lebih teruk.
“Hospital di sini tidak ubah seperti bangunan kosong yang terbiar,” katanya.
Hospital Umum Sri Lanka sebelum ini menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negara untuk mendapatkan rawatan perubatan.
Namun kini, keadaan di hospital itu lengang, dengan 3,400 katilnya kosong tidak mempunyai pesakit.
Selain kekurangan bekalan ubatan, peralatan rawatan untuk pembedahan juga semakin uzur, malah kekurangan bekalan bahan api menyukarkan petugas perubatan keluar untuk memberi rawatan kepada pesakit.
Seorang doktor, Dr. Vasan Ratnasingham memberitahu, ada petugas kesihatan yang terpaksa kerja syif berganda kerana rakan setugas yang lain tidak dapat melapor diri berikutan ketiadaan bahan api untuk bergerak.
Sri Lanka mengimport 85 peratus bekalan ubatan dan peralatan perubatan. – AFP