PETALING JAYA: Peminat di negara ini dijangka berpeluang menyaksikan persembahan Justin Bieber di depan mata selepas penyanyi pop itu mengumumkan akan menyambung semula siri jelajah Konsert Justice bermula 31 Julai ini.
Penyanyi kelahiran Kanada itu dijadualkan mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 22 Oktober depan.
Selain Malaysia, Justice World Tour akan menemui peminat di negara Asia lain seperti di Jakarta, Nagoya, Osaka dan Tokyo.
Lebih 100 tarikh telah diumumkan untuk konsert jelajah dunia ini sepanjang tahun 2022 hingga 2023 termasuk di Amerika Syarikat, Eropah, United Kingdom, Australia, New Zealand, Afrika Selatan, Asia Barat dan Asia.
Bulan lalu, pelantun lagu Baby itu memaklumkan terpaksa menunda konsert jelajahnya di Washington DC, Toronto dan New York serta diikuti beberapa siri di Amerika Utara apabila diserang sindrom Ramsay Hunt yang menyebabkan wajahnya lumpuh sebelah.
Awal tahun lalu, harga tiket bagi konsert di KL yang dijual bermula dari RM288 hingga RM1,088 mencetuskan spekulasi selepas peminat di negara ini dikatakan sanggup mendapatkan tiket tersebut ketika negara berdepan kenaikan harga barang.
Peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan penyanyi itu berharap konsert tersebut berjalan seperti dijadualkan di negara ini.
“Kalau tiba-tiba konsert Justin Bieber batal lagi sekali, sumpah aku mengamuk ya. Dah habis banyak ni,” tulis Siti.