NEW DELHI: India dijangka mengatasi China sebagai negara paling ramai penduduk di dunia pada 2023, dengan masing-masing merekodkan lebih 1.4 bilion penduduk pada tahun ini.
Data itu didedahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi satu laporan yang memberi amaran tahap kesuburan yang tinggi akan mencabar pertumbuhan ekonomi.
Berdasarkan laporan dikeluarkan sempena Hari Penduduk Sedunia, penduduk dunia dijangka mencapai angka lapan bilion pada 15 November depan.
Malah, ia mampu meningkat kepada 8.5 bilion pada 2030 dan dan 10.4 bilion pada 2100, apabila kadar kematian semakin perlahan.
Bancian domestik yang dijalankan setiap satu dekad menunjukkan penduduk India pada 2011 adalah sebanyak 1.21 bilion.
Namun, kerajaan menangguhkan bancian 2021 berikutan pandemik Covid-19.
Anggaran PBB menunjukkan populasi dunia tumbuh pada kadar paling perlahan sejak 1950, setelah ia jatuh dibawah satu peratus pada 2020.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, populasi yang semakin meningkat menjadi peringatan mengenai tanggungjawab semua pihak secara bersama bagi menjaga bumi.
“Ini harus dijadikan mencermin diri untuk melihat kekurangan yang ada pada kita bagi memenuhi komitmen antara satu sama lain.
“Ia juga merupakan kesempatan untuk meraikan kepelbagaian, mengiktiraf kemanusiaan dan mengagumi kemajuan dalam kesihatan yang memanjangkan jangka hayat dan secara mendadak mengurangkan kadar kematian ibu serta anak,” katanya.
Sementara itu, PBB memaklumkan lebih separuh daripada unjuran peningkatan populasi global sehingga 2050 akan tertumpu di lapan negara iaitu Congo, Mesir, Ethiopia, India, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Republik Bersatu Tanzania.
Negara-negara sub-Sahara Afrika dijangka menyumbang lebih separuh daripada peningkatan yang dijangkakan menjelang 2050. – REUTERS