Isu tenaga pekerja, Indonesia minta Malaysia 'jangan terus angkuh' - Utusan Malaysia

Isu tenaga pekerja, Indonesia minta Malaysia ‘jangan terus angkuh’

KEBANYAKAN tenaga pekerja Indonesia yang dihantar ke Malaysia bekerja sebagai pembantu rumah. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Migrant Care meminta kerajaan Indonesia supaya terus melakukan penilaian secara bijak dan menyeluruh mengenai penghantaran pekerja ke Malaysia.

Menurut Ketua Penyelidikan Migrant Care, Anis Hidayah, kerjasama antara kedua-dua negara perlu didahului dengan sikap saling menghormati dan menghargai.

“Kerjasama antara kedua-dua negara perlu dilakukan dengan sikap bertolak ansur, hormat-menghormati supaya masing-masing mendapat faedah yang baik.

“Penilaian secara bijak oleh kerajaan Indonesia juga amat diperlukan agar kerajaan Malaysia tidak terus angkuh dalam hal ini,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Jelas Anis, sekarang bukannya masa untuk kedua-dua negara saling bertikam lidah mahupun bermasam muka kerana penghantaran tenaga pekerja Indonesia ke Malaysia memberikan faedah terhadap negara masing-masing.

Katanya, masalah yang timbul boleh berlaku sekiranya Malaysia terlebih dahulu memahami memorandum persefahaman yang ditandatangani sebelum ini berhubung penempatan dan perlindungan tenaga pekerja Indonesia.

“Sikap Malaysia yang masih menggunakan sistem pengambilan pekerja yang tidak dipersetujui menunjukkan negara itu angkuh dalam pembuatan keputusan.

“Mungkin Malaysia berpandangan Indonesia terlalu bergantung kepada negara itu dalam soal penyaluran tenaga kerja, menyebabkan mereka melanggar perjanjian yang dipersetujui,” ujarnya.

Anis menegaskan, Indonesia dan Malaysia saling memerlukan dalam pelbagai sektor kerana hubungan diplomasi antara kedua-dua negara sudah lama terjalin dan penghantaran tenaga pekerja ke negara itu bukan lagi isu baharu.

Sehubungan itu, beliau menyatakan, masalah ini hanya boleh diselesaikan jika Malaysia menghormati pendirian Indonesia yang bertegas dalam melindungi kebajikan tenaga pekerjanya.

Katanya, dianggarkan seramai 1.6 juta tenaga pekerja Indonesia mencari rezeki di Malaysia menerusi beberapa sektor termasuk domestik (pembantu rumah) dan pembinaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya