Iran kembali laksana hukuman gantung depan khalayak ramai - Utusan Malaysia

Iran kembali laksana hukuman gantung depan khalayak ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Iran semalam melaksanakan hukuman gantung sampai mati untuk kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun, menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut mengecam tindakan itu sebagai amalan kuno.

Iman Sabzikar, yang disabitkan kesalahan kerana membunuh seorang pegawai polis pada Februari lalu di bandar selatan Shiraz, menjalani hukuman gantung pada awal pagi di tempat kejadian, kata Iran Human Rights (IHR) yang berpangkalan di Norway.

IHR berkata, media Iran melaporkan mengenai pelaksanaan hukuman mati secara terbuka membabitkan banduan yang dikenal pasti sebagai Sabzikar.

Hukuman gantung yang dilakukan di khalayak ramai terhadap Sabzikar telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada awal bulan ini.

“Pelaksanaan semula hukuman kejam di khalayak ramai ini bertujuan menakutkan dan mengancam orang ramai daripada melakukan protes,” kata pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam.

Tular imej didakwa hukuman gantung sampai mati di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju penjara Iran, berjalur biru muda dan hitam tergantung beberapa meter pada tali yang dipasang pada kren di atas trak.

Hukuman mati di Iran biasanya dilaksanakan di dalam penjara dan aktivis berkata, hukuman mati di hadapan orang awam dibuat sebagai satu bentuk pengajaran, terutama apabila jenayah itu membabitkan pembunuhan anggota pasukan keselamatan.

IHR menyatakan, hukuman mati di khalayak ramai itu kali terakhir dilaksanakan pada 11 Jun 2020.

Katanya lagi, empat lelaki yang kesemuanya turut dikenakan hukuman mati kerana membunuh anggota polis dalam kes berasingan kini berdepan risiko dihukum gantung di khalayak ramai.

IHR menjelaskan, jumlah hukuman mati pada tahun ini meningkat dua kali ganda pada separuh pertama berbanding tahun lalu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan aktivis menyuarakan kebimbangan susulan tindakan keganasan yang semakin meningkat di Iran kerana negara itu berdepan protes luar biasa berikutan krisis ekonomi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya