MANADO (SULAWESI UTARA): Kerajaan menyediakan pinjaman bagi membantu pembiayaan kos keperluan mereka yang akan bekerja di luar negara, menurut Agensi Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI).
“Pinjaman itu boleh dibayar balik secara ansuran setiap bulan, dengan kadar faedah yang sangat rendah,” kata Ketua BP2MI, Benny Rhamdani, pada satu mesyuarat penyelarasan, kelmarin.
Antara News melaporkan, akibat tidak banyak pilihan sebelum ini, ramai daripada golongan berkenaan sering terpaksa menjual harta benda keluarga atau meminjam wang daripada along bagi menampung perbelanjaan dalam membuat persediaan bekerja di luar negara.
“Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah mengarahkan supaya tiada lagi rakyat yang berhasrat ke luar negara (bekerja), terpaksa menjual aset keluarga atau meminjam wang daripada ceti haram bagi membiayai kos tiket penerbangan, visa, yuran latihan, makanan dan kemudahan, pemeriksaan kesihatan serta pemeriksaan psikologi. Kini, kerajaan akan menyediakan pinjaman,” kata Rhamdani.
Beliau memaklumkan, pinjaman itu yang disediakan tanpa keperluan cagaran, akan dikendalikan oleh Bank Negara Indonesia (BNI) serta bank milik kerajaan yang lain.
Katanya, BNI menetapkan pinjaman siling pada 40 juta rupiah (RM11,866), manakala bank lain bawah kerajaan seperti Bank BRI pula 100 juta rupiah (RM29,667).
Beliau sekali gus menzahirkan perasaan optimis bahawa rakyat termasuk dari wilayah Sulawesi Utara, dapat memanfaatkan peluang bantuan itu untuk bekerja di luar negara.
“Apabila Puan Erny bertanya kepada saya mengenai berapa ramai penduduk yang Sumatera Utara boleh hantar bekerja ke luar negara, saya menyatakan, seramai yang mungkin dan kami akan membantu mereka,” katanya sambil merujuk kepada Ketua Pejabat Tenaga Kerja dan Transmigrasi Sumatera Utara, Erny Tumundo.
Rhamdani turut memaklumkan, pekerja migran Indonesia di Jepun menerima gaji bulanan antara Rp22 juta hingga Rp30 juta (kira-kira RM6,500 hingga RM7,100); Singapura dan Asia Timur antara 20 juta hingga 27 juta rupiah (kira-kira RM5,900 hingga RM8,000); dan Jerman antara 34 juta hingga 40 juta rupiah (kira-kira RM10,000 hingga RM11,800).
“Malah, ketua agensi hanya menerima gaji sebanyak 26 juta rupiah (kira-kira RM7,700), jauh lebih rendah daripada pekerja migran terbabit,” katanya.