BIRMINGHAM: Seorang wanita beragama Islam tidak menyangka anak-anaknya dipaksa makan sosej daging babi ketika waktu makan tengah hari di sekolah mereka.
Mussrat Bibi, 41, mendakwa insiden itu berlaku di Sekolah Rendah Hollyfield di Sutton Coldfield, Birmingham.
Ibu kepada lapan orang itu memberitahu, insiden berkenaan membuatkan semua ahli keluarganya berasa ‘jijik’ dengan apa yang berlaku sehingga seorang daripada anaknya jatuh sakit dan terpaksa dimasukkan ke hospital.
Disebabkan insiden berkenaan, Mussrat memberhentikan dua anaknya, Rayhaan dan Sufiyaan daripada sekolah tersebut, selain menyelar golongan pendidik di sekolah itu yang disifatkan jahil mengenai agama.
Dalam pada itu, jurucakap sekolah tersebut memohon maaf atas insiden yang berlaku.
Pihak pengurusan sekolah berkenaan berjanji untuk meneliti insiden yang berlaku bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Saya tidak pernah melihat anak-anak saya jatuh sakit seperti itu (selepas makan sosej babi). Mereka tidak pernah ada masalah dengan makanan yang saya sediakan di rumah.
“Satu keluarga kami jatuh sakit selepas itu, selain kami juga berasa amat jijik.
“Saya sudah adukan kepada pihak sekolah dan saya berasa amat kecewa kerana mustahil mereka (guru) tidak tahu orang Islam tidak boleh makan daging babi,” ujar Mussrat kepada Daily Mail.
Sehubungan itu, wanita tersebut menegaskan pengurusan sekolah perlu lebih peka, termasuk memaklumkan kepadanya jika mereka tidak dapat menyediakan makanan halal.
Katanya, dia boleh menyediakan bekal setiap hari asalkan pembelajaran anaknya tidak terganggu.