JAKARTA: Kementerian Luar Indonesia menegaskan, keputusan yang dibuat untuk membekukan kemasukan pekerja negara ini ke Malaysia merupakan langkah tepat.
Hal ini kerana, Indonesia mendakwa terdapat bukti kukuh yang menunjukkan Malaysia tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, termasuk memansuhkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS).
Pengarah Perlindungan Rakyat Indonesia dan Badan Perundangan Indonesia, Judha Nugraha berkata, MOS merupakan mekanisme pengambilan pekerja di luar memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui sebelum ini.
“Sistem itu amat bercanggah dengan MoU yang dipersetujui.
“MOS juga menyebabkan golongan pekerja Indonesia lebih mudah menjadi mangsa eksploitasi seperti buruh paksa kerana mereka tidak diberi latihan atau panduan yang sewajarnya sebelum dihantar ke Malaysia.
“Mekanisme itu bertentangan dengan Undang-Undang No.18 tahun 2017 mengenai pekerja migran,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.
Terdahulu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, terlalu banyak syarat yang masih gagal dipenuhi Malaysia meskipun sudah berjanji untuk mematuhinya.
Keputusan menghentikan kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia itu dibuat selepas sistem saluran tunggal yang dipersetujui dalam MoU bertentangan dengan sistem MOS yang masih membenarkan pekerja negara ini memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong sebelum memohon permit kerja.
Sebanyak 15,000 hingga 20,000 permohonan kemasukan pekerja Indonesia ke Malaysia sudah diterima setakat ini dengan 10,000 permohonan melibatkan sektor perladangan dan pembuatan.
Dalam pada itu, Judha berharap ada hasil positif hasil perbincangan antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri Malaysia mengenai isu yang timbul.
“Sudah tentu kami mengharapkan yang terbaik untuk rakyat kami dan juga ingin menjaga hubungan baik dengan Malaysia.
“Hubungan Indonesia dan Malaysia sudah lama terjalin, maka kami tidak mahu isu seperti ini menjejaskan diplomasi itu,” ujarnya.