LONDON: Hampir enam juta rakyat Britain menyatakan kesediaan menghisap ganja sekiranya dibenarkan oleh undang-undang.
Dua kajian utama malah mendapati angka itu melibatkan sejumlah besar golongan dewasa termasuk ibu bapa dan murid sekolah rendah yang akan cuba mengambil bahan tersebut, lapor Daily Mail.
Analisis kajian turut mendapati separuh juta individu di negara ini sudah pun mencuba dadah itu.
Dapatan kajian juga menzahirkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan mental dan jenayah yang boleh meningkat selepas bukti mengaitkan ganja berisiko tinggi menyebabkan psikosis.
Pengarah Editorial di Think-Tank Civitas dan Pengarang Penyelidikan Terkini, Frank Young berkata, kajian mendedahkan potensi peningkatan yang besar dalam penggunaan ganja baharu jika United Kingdom (UK) menghalalkan ganja.
“Ia sepatutnya membuatkan ahli politik berhenti dan berfikir sebelum tunduk kepada tekanan untuk meluluskan penggunaan ganja di UK.
“Golongan ibu bapa bimbang sekiranya ahli politik tergesa-gesa menghalalkan dadah yang akan membahayakan anak-anak mereka,” jelasnya.
Tinjauan oleh Civitas pada Mei lalu itu meninjau pendapat 4,451 responden dewasa di seluruh negara tentang penggunaan kanabis, manakala, 1,029 ibu bapa lain disoal tentang sikap mereka terhadap ganja yang dikategorikan sebagai dadah Kelas B itu.
Kajian mendapati sebanyak 5.86 juta dewasa akan cuba menghisap ganja bagi tujuan perubatan buat kali pertama, termasuk 775,000 di London.