Bekas Imam Mekah naik Harley Davidson  - Utusan Malaysia

Bekas Imam Mekah naik Harley Davidson 

TANGKAP layar video Sheikh Adel Al-Kalbani menunggang motosikal Harley Davidson dengan mengenakan pakaian moden. - AL ARABIYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Satu video memaparkan bekas Imam Masjidilharam menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi lengkap dengan berpakaian moden, menjadi tular dalam media sosial.

Berdasarkan video dirakam oleh seorang peminat di aplikasi Snapchat, Sheikh Adel Al-Kalbani dilihat sedang duduk di atas motosikal jenis Harley Davidson di tepi jalan.

Malah, Sheikh Adel juga kelihatan memakai jaket dengan bendera negara Amerika Syarikat (AS) dan beberapa lagi ikon di atas pakaian itu.

“Sheikh Adel tersenyum dan menunjukkan isyarat dua jari berbentuk `V’ sebagai simbol kedamaian selepas peminat yang merakam video meminta beliau berbuat demikian,” jelas laporan Al Arabiya.

Nama Sheikh Adel menjadi sohor kini di Twitter sejak rakaman video itu tular dalam media sosial, Isnin lalu.

Malah, tindakan bekas Imam Masjidil Haram itu juga mencetuskan pelbagai reaksi di seluruh Arab Saudi kerana dianggap luar biasa dan berbeza dengan ulama lain.

Sementara itu, seorang pengguna media sosial berpandangan cara Sheikh Adel berpakaian mungkin sukar diterima oleh sesetengah rakyat.

“Pada hemat saya, Sheikh Adel tidak melakukan sebarang perkara yang dilarang. Beliau bebas membuat apa sahaja dimahukan.

“Namun, kita sudah biasa melihat golongan imam terutama Imam Masjidil Haram berpakaian dengan cara tertentu. Jadi, kami sukar menerima perkara ini,” katanya di Twitter.

Bagaimanapun, rata-rata warganet memuji penampilan baharu Sheikh Adel dengan ada yang menggelar beliau sebagai tokoh luar biasa.

Ramai juga yang menganggap apa yang dilakukan oleh bekas Imam Masjidil Haram itu sebagai satu bentuk kebebasan baginya.

“Apa salahnya memakai pakaian moden. Ini adalah kebebasannya. Tiada siapa yang akan mempertanggungjawabkan individu itu melainkan Allah.

“Jadi, mengapa mahu kecoh mengenai isu ini,” kata seorang pengguna yang menjawab komen negatif pada video tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya