NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) kelmarin merekodkan kes pertama polio dalam tempoh hampir sedekad.
Jabatan Kesihatan New York menyatakan, seorang penduduk yang tinggal di daerah Rockland, 48 kilometer dari utara Manhattan disahkan positif penyakit tersebut.
Kali terakhir negara ini merekodkan kes polio adalah pada 2013, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Kes terbaharu itu merupakan ‘rantaian penularan daripada individu yang sudah menerima vaksin polio secara oral (OPV).
Pemberian vaksin polio oral sudah dihentikan di negara ini pada tahun 2000.
“Situasi itu secara tidak langsung menunjukkan virus itu kemungkinan berasal dari luar AS, di mana OPV masih diberikan, memandangkan strain berulang tidak boleh muncul daripada vaksin yang tidak aktif,” jelas jabatan itu menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Pesuruhjaya Kesihatan Daerah Rockland, Dr. Patricia Schnabel Ruppert berkata, kes polio itu melibatkan individu dewasa yang tidak melakukan perjalanan ke luar negara.
Individu itu mula mempunyai gejala sejak bulan lalu, selain lumpuh.
“Kami akan mengenal pasti semua kontak rapat pesakit itu bagi mengekang penularan,” katanya.
Kes polio di seluruh dunia menurun sehingga 99 peratus sejak 1998, ketika ia menjadi endemik di 125 negara dengan 350,000 kes direkodkan secara global. – AGENSI