RIYADH: Arab Saudi mengumumkan untuk menarik balik sekatan terhadap semua ‘pesawat’ yang menggunakan ruang udaranya sekali gus menunjukkan sikap keterbukaan yang jelas terhadap Israel.
Menerusi kenyataan dalam Twitter, pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi mengumumkan keputusan untuk membuka ruang udara Riyadh bagi semua syarikat penerbangan yang memenuhi keperluan pihak berkuasa negara ini.
Keputusan itu dibuat bagi melengkapkan usaha kerajaan menyatukan kedudukan sebagai hab global yang menghubungkan tiga benua.
Perkembangan terkini itu juga dibuat sempena kunjungan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang melakukan penerbangan terus dari Israel ke Arab Saudi.
Biden juga memecah rekod sebagai Presiden AS pertama menaiki pesawat dari negara Yahudi ke Arab Saudi yang sehingga kini masih belum mengiktiraf Israel.
Biden mengalu-alukan keputusan ‘bersejarah’ itu yang disifatkannya sebagai langkah damai terbaharu oleh Riyadh dengan Israel.
Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan berkata, keputusan itu adalah hasil diplomasi berterusan dan berprinsip oleh Washington dan Riyadh selama beberapa bulan.
Beliau berkata, Biden yang mendarat di Arab Saudi menerusi lawatan kontroversi pada Jumaat merupakan sebahagian dari lawatan beliau ke Asia Barat.
Biden mengunjungi bandar Jeddah di pantai Laut Merah, petang semalam, walaupun sebelum ini melabelkan kerajaan negara itu sebagai ‘pariah’ susulan pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, 2018.
Sebelum ketibaan Biden di Israel Rabu lalu, Washington membayangkan lebih banyak negara Arab akan mengambil langkah untuk meneruskan hubungan dengan Israel.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan spekulasi sama ada Riyadh akan mengubah pendirian untuk tidak mewujudkan hubungan dua hala secara rasmi sehingga konflik Palestin diselesaikan.
Riyadh tidak menunjukkan sebarang penentangan apabila sekutu serantaunya, Emiriah Arab Bersatu menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada 2020, diikuti Bahrain dan Maghribi di bawah Perjanjian Abraham yang diuruskan oleh AS.
Bagaimanapun, penganalisis berpandangan Riyadh tidak akan mengiktiraf hubungan rasmi dengan Israel semasa lawatan rasmi Biden ke negara itu atau semasa Raja Salman masih memerintah.
Sebelum ini, Israel kerap mendesak supaya diberikan hak penerbangan bagi memendekkan perjalanan ke destinasi di Asia.
Pihak berkuasa Israel juga mahu jemaah haji Islam dari negara itu dapat melakukan perjalanan terus ke Arab Saudi, kerana buat masa sekarang mereka dikehendaki transit di negara ketiga.
BIDEN JUMPA PEMIMPIN PALESTIN
Biden dilaporkan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Palestin di Tebing Barat terlebih dahulu, sebelum melakukan lawatan kontroversi ke Arab Saudi.
Penganalisis berpandangan pertemuan empat mata dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas akan menjadi tegang selepas hubungan keruh semasa pentadbiran Donald Trump.
Pertemuan Biden dengan Mahmoud di Baitulaham akan menjadi pertemuan peringkat tertinggi antara AS dan Palestin sejak negara itu membekukan hubungan selepas pertikaian mengenai penutupan pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin di Washington.
Rakyat Palestin menaruh harapan besar supaya AS mengadakan semula rundingan damai dengan Israel serta membuka semula Konsulat AS di Baitulmuqaddis yang berfungsi sebagai kedutaan de facto kepada Palestin sebelum ditutup oleh Trump.
Selepas itu, Biden dijadualkan berkunjung ke Riyadh untuk bertemu dengan Putera Mahkota, Mohammed Salman dan bapanya, Raja Salman.
Difahamkan, topik perbincangan pemimpin tersebut berkisarkan tentang bekalan tenaga, hak asasi manusia dan kerjasama keselamatan.