LONDON: Ramai pelarian mempersoalkan langkah membenarkan warga Ukraine tinggal dan bekerja di United Kingdom (UK) sedangkan pelarian dari negara lain dihantar ke Rwanda.
Malah, pelarian berkenaan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak adil dan diskriminasi kepada golongan yang datang dari negara lain.
Memetik laporan Al Jazeera, sekumpulan pelarian di Britain yang bakal dihantar ke Rwanda memaklumkan mereka mengadakan mogok lapar ketika sedang bergelut dengan kemurungan dan masalah kesihatan mental yang teruk.
Salah seorang daripada kumpulan pelarian itu turut mendakwa mempunyai niat membunuh diri.
April lalu, UK mengumumkan rancangan untuk menghantar pencari suaka ke negara Afrika itu.
Penerbangan yang membawa kumpulan pelarian pertama dijadualkan berlepas pada 14 Jun ini.
Pelarian Syria dikenali sebagai Ahmed berkata, dia melarikan diri dari negara dilanda perang itu selepas enggan menyertai tentera dan tiba di UK tanpa sebarang dokumen.
Ahmed, 20, merupakan antara pelarian yang akan dihantar ke Rwanda dalam penerbangan pertama itu.
“Saya melarikan diri dan sampai di UK melalui negara Balkan.
“Pada 20 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan untuk menghantar saya ke Rwanda,” katanya yang ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Colnbrook berhampiran Lapangan Terbang Heathrow.
Kata Ahmed, ketika ini dia melancarkan mogok lapar untuk membantah langkah tersebut, malah tidak faham tindakan dihantar ke Rwanda memandangkan terdapat perbezaan ketara dari segi bahasa dan budaya.
“Saya tidak nampak sebarang alasan mengapa perlu pergi ke negara di Afrika Timur, saya tidak mempunyai saudara mara mahupun keluarga di sana. Saya juga tidak mengenali sesiapa pun.
“Saya akan menolak untuk pergi tetapi jika kerajaan UK masih berkeras untuk menghantar kami ke Kigali dan memaksa naik pesawat, saya akan bunuh diri,” katanya.
Seorang pelarian dari Iran, Ferhad di pusat tahanan itu berkata, prospek hantar pulang amat suram jika dibandingkan dengan negara Eropah yang mengalu-alukan pelarian dari Ukraine.
Ferhad, 23, juga melancarkan mogok lapar kerana bakal dihantar bersama kumpulan pelarian pertama ke Rwanda.
“Apabila perang di Ukraine bermula, semua warga negara itu dialu-alukan dan diberi layanan lebih baik.
“Memandangkan kami semua pelarian, saya tidak faham mengapa saya akan dihantar ke Rwanda sedangkan warga Ukraine diberi kehidupan lebih baik, tempat tinggal dan segala mereka perlukan.
“Walau apa pun asal usul pelarian di sini, kita semua adalah manusia. Bunuh saya di sini atau biarkan Iran membunuh saya daripada menghantar saya ke Rwanda,” katanya.
Lebih 60 pelarian bakal dihantar ke Rwanda.
CARA BERKESAN
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Priti Patel menyifatkan pelan tersebut sebagai cara berkesan untuk memproses bilangan pendatang tidak tetap yang semakin meningkat.
Sebelum ini, Patel menandatangani pelan perjanjian untuk memindahkan pelarian ke Kigali dengan Rwanda.
Beliau juga mendakwa langkah itu akan mencegah kegiatan pemerdagangan dan mengurangkan kes kematian di Selat Inggeris.
Kira-kira 20 daripada 60 pelarian yang ditahan di Pusat Tahanan Colnbrook dilaporkan berasal dari Asia Barat.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia dan ahli politik pembangkang mengecam dan menyifatkan tindakan penghantaran itu tidak beretika.