LONDON: Sepasukan penyelidik dari Universiti York mendapati hampir separuh sungai di dunia dicemari dengan kandungan pelbagai bahan kimia perubatan.
Kajian melibatkan ujian pensampelan air di 1,052 sungai merentasi 104 negara dan mendapati tahap tidak selamat kerana mengandungi ubat-ubatan termasuk antikemurungan dan ubat penahan sakit.
Daily Mail melaporkan, sampel turut diambil di negara seperti United Kingdom, Australia, Perancis dan Amerika Syarikat.
Keputusan kajian menunjukkan sebanyak 43.5 peratus lokasi tersebut mempunyai kepekatan 23 bahan farmaseutikal aktif.
Kajian tersebut merupakan penilaian global pertama mengkaji kesan farmaseutikal dan campuran bahan tersebut ke dalam aliran sungai.
Pengarang bersama kajian itu, Alejandra Bouzas-Monroy berkata, hasil penemuan pihaknya mendapati sebahagian besar sungai di seluruh dunia terancam dengan pencemaran farmaseutikal.
Oleh itu, jelasnya, usaha keras perlu dilakukan bagi mengurangkan pelepasan bahan kimia tersebut yang mencemarkan alam sekitar.
“Lokasi sungai yang paling tinggi mengandungi bahan kimia perubatan terletak di Nairobi, Kenya.
“Sungai lain melibatkan Lagos, Nigeria dan Bukavu, Republik Demokratik Congo dengan pemerhatian melibatkan aktiviti pelupusan sampah, pembuangan kumbahan bahan mentah oleh trak ekzos dan aktiviti penghasilan farmaseutikal,” katanya.
Monroy berkata, tahap tertinggi di negara Asia adalah di Lahore, Pakistan; La Paz, Amerika Selatan serta Tubingen, Eropah.
Menurut Biro Alam Sekitar Eropah (EEB), lebih 100,000 tan produk farmaseutikal digunakan secara global setiap tahun.
Bahan kimia farmaseutikal dilepaskan ke dalam sungai semasa pengeluaran, penggunaan dan pelupusan bahan tersebut yang berpotensi memberikan kesan buruk kepada organisme termasuk ikan dan tumbuhan akuatik.
Penyelidik berharap pendedahan itu menggalakkan negara terlibat mengambil pendekatan lebih baik bagi menangani pencemaran farmaseutikal terhadap sungai di seluruh dunia.