BANGKOK: Timbalan Gabenor Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT), Thanet Phetsuwan menyasarkan kehadiran sejuta pelancong dari Malaysia ke Phuket.
Jelasnya, tempahan penerbangan harian oleh pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Phuket juga sentiasa penuh.
Phetsuwan berkata, kelonggaran beberapa peraturan sebelum kemasukan ke Thailand menarik minat rakyat Malaysia melancong ke Phuket.
Difahamkan, ramai pelancong dari Malaysia membeli pakej percutian merangkumi tiket penerbangan, hotel dan pengangkutan dari lapangan terbang.
Bagaimanapun, pihak TAT menjelaskan pengunjung luar masih perlu mendaftarkan diri dengan Thailand Pass dengan memuat naik bukti insurans bernilai AS$10,000 (RM44,242) dan bukti vaksinasi.
Pengunjung yang belum divaksin perlu memuat naik bukti negatif ujian RT-PCR dalam tempoh 72 jam semasa ketibaan di Thailand.
“Sebaik sahaja Thailand Pass dibatalkan pada 1 Julai depan, jumlah perjalanan antarabangsa ke Thailand dijangka menyaksikan lonjakan,” katanya lapor TheThaiger.
Selain Malaysia, Phuket turut menerima kehadiran jumlah pelancong yang besar dari negara Asia Tenggara, India dan Eropah.
Selain AirAsia, pesawat Scoot, Indigo, Emirates dan Thai Airways turut menawarkan penerbangan ke Phuket dari pelbagai lokasi di Malaysia.