ACCRA: Sepasang kekasih di Ghana diikat pada sebuah tiang pos dan disebat 20 kali setiap seorang selepas video seks mereka tular dalam media sosial.
Memetik laporan Daily Star, penduduk Wa di Ghana bertindak menahan dan menghukum pasangan tersebut kerana video lucah berkenaan didakwa mencemarkan nama baik bandar tersebut.
Beberapa gambar yang tular memaparkan pasangan kekasih terbabit diikat pada tiang pos berasingan di pekarangan Istana Wa Naa, 31 Mei lalu.
Menurut individu yang menahan pasangan tersebut, perbuatan merakam video seks adalah salah dan lebih teruk lagi apabila membenarkan rakaman video itu tular dalam media sosial mengikut fahaman Islam.
Berdasarkan beberapa laporan media tempatan, pasangan itu dibawa ke pekarangan istana untuk dijatuhkan hukuman.
Namun, Wa Naa (Raja orang Wala) tidak hadir, lalu mereka memutuskan untuk memberi 20 sebatan ke atas pasangan terbabit.
Wa Naa atau dikenali sebagai Na Fuseini Seidu Pelpuo IV bagaimanapun mendakwa dia membenarkan hukuman demikian dilakukan untuk memupuk disiplin dalam kalangan anak muda di bandar itu.
“Selain hukuman sebat, ibu bapa kepada lelaki dan wanita itu bersetuju membenarkan mereka berkahwin dan hidup sebagai pasangan suami isteri.
“Cara ini bertindak sebagai penghalang bagi anak-anak muda yang terserong ke arah kehidupan yang salah,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Peguam Ghana (GBA) mengecam dan menyifatkan penderaan demikian sebagai tindakan yang mundur dan biadab.
“Perbuatan biadab itu melanggar Perkara 12 (2) dan 15 (1) (2) (a) dan (b) Perlembagaan 1992,” katanya.
Sehubungan itu, GBA juga menggesa agensi keselamatan berkaitan menahan semua individu yang terlibat dalam insiden penderaan fizikal pasangan tersebut.
“Kami meminta pihak berkaitan tampil menyiasat kejadian itu dan memastikan pelaku didakwa berdasarkan undang-undang,” jelas persatuan itu.