LONDON: Seorang lelaki di Britain mendedahkan pernah minum sebanyak 30 tin minuman berkarbonat Pepsi setiap hari selama 20 tahun.
Bagaimanapun, Andy Curie kini sudah menghentikan tabiat buruk itu selepas mendapatkan rawatan hipnoterapi.
Memetik laporan Metro, Currie, 41, dari Bangor di North Wales berkata, dia mengalami ketagihan sehingga sanggup minum 10 liter pepsi setiap hari.
Katanya, dia telah membelanjakan kira-kira 140,000 pound (RM753,159) untuk membeli air berkabonat itu sepanjang dua dekad itu.
Currie yang merupakan pekerja pasar raya dilaporkan minum sebanyak 219,000 tin pepsi sejak mengalami ketagihan pada usia 20an.
Jumlah minuman berkarbonat diambil Currie menyamai hampir 8,000 kilogram (kg) gula atau tujuh juta gula kuib.
“Saya menggemari rasa Pepsi yang sejuk sehingga ia menjadi suatu ketagihan.
“Malah, saya bertugas pada syif malam dan ia membuatkan saya sentiasa perlu mengambil gula untuk terus bekerja,” katanya.
Currie turut mengakui dia boleh membeli sebuah kereta dengan wang yang dibelanjakan untuk mendapatkan minuman pepsi.
Menurut Currie, dia memutuskan untuk menangani ketagihan minum pepsi selepas berat badannya bertambah mencecah 120kg dan diberi amaran oleh doktor berisiko menghidap diabetes.
Katanya, dia berjaya menghentikan ketagihan dialaminya selepas mendapatkan bantuan pakar hipnotesis berpangkalan di London, David Kilmurry.
“Hanya selepas menjalani satu sesi hipnotesis secara dalam talian, saya tidak pasti apa dilakukannya sehingga tidak mahu minum air Pepsi lagi,” katanya.