STOCKHOLM: Lebih banyak senjata nuklear akan dihasilkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan beberapa faktor, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).
Pengarah Program Senjata Pemusnah Besar-Besaran (WMD) SIPRI, Wilfred Wan menegaskan risiko senjata nuklear yang digunakan adalah paling besar sejak tempoh beberapa dekad lalu terutamanya selepas era Perang Dingin.
Katanya, insiden pencerobohan Russia di Ukraine dan sokongan Barat kepada Kyiv meningkatkan ketegangan dalam kalangan sembilan negara memiliki senjata nuklear di dunia meskipun bilangan senjata nuklear menunjukkan penurunan antara Januari 2021 dan Januari 2022.
Wan berkata, melainkan tindakan segera diambil oleh negara kuasa nuklear, stok global kepala peledak berupaya meningkat, buat pertama kali dalam tempoh beberapa dekad.
“Hampir semua negara yang memiliki senjata nuklear sedang meningkatkan atau menaik taraf senjata masing-masing, malah kebanyakannya juga memperkukuhkan retorik nuklear dan peranan itu dalam strategi ketenteraan mereka.
“Trend ini amat membimbangkan semua pihak,” katanya dalam laporan tahunan 2022.
Sembilan negara kuasa besar nuklear itu merangkumi Britain, China, Perancis, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, Amerika Syarikat (AS) dan Russia.
Sementara itu, SIPRI memaklumkan Russia mempunyai senjata nuklear terbesar di dunia dengan 5,977 kepala peledak, lebih 550 berbanding AS.
Jelas laporan itu, kedua-dua negara berkenaan memiliki lebih 90 peratus daripada jumlah kepala peledak di dunia.
Bagaimanapun, menurut SIPRI, China berada di tengah-tengah peluasan itu, dengan dianggarkan memiliki lebih 300 silo peluru berpandu baharu.
SIPRI memaklumkan bilangan kepala peledak nuklear di peringkat global menurun kepada 12,705 pada Januari 2022 berbanding 13,080 pada Januari 2021.
Jelas laporan itu, dianggarkan 3,732 kepala peledak dipasang pada peluru berpandu dan pesawat serta kira-kira 2,000 yang kesemuanya milik Russia atau AS, disimpan dalam keadaan kesiapsiagaan. – REUTERS