MADINAH: Lebih 100,000 jemaah haji dari pelbagai negara tiba di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah rukun Islam kelima itu.
Lapor Saudi Gazette, setakat Isnin lalu, sebanyak 99,884 jemaah haji tiba di Arab Saudi menggunakan pengangkutan udara.
Berdasarkan laporan yang disiarkan oleh agensi di bawah Kementerian Haji dan Umrah, bilangan jemaah yang tiba di negara ini mencecah 17,132 orang, manakala, jemaah yang tiba melalui pelabuhan darat adalah dua orang, setakat 13 Jun lalu.
Laporan itu juga menunjukkan jumlah jemaah yang meninggalkan Madinah ke Mekah melalui Pusat Perkumpulan Haji di Madinah mencecah 4,539 orang, manakala, jumlah jemaah yang berlepas melalui pusat itu ialah 9,131 jemaah.
Jumlah jemaah yang tinggal di Madinah adalah seramai 68,543 orang.
Agensi itu juga berusaha mempercepatkan masa bagi menyelesaikan prosedur penerimaan jemaah haji semasa ketibaan mereka.
Purata masa bagi menyelesaikan prosedur jemaah haji di luar ruang istirahat lapangan terbang tahun ini mencecah 29 minit, berbanding 36 minit semasa musim haji 2019.
Purata masa bagi menyempurnakan prosedur jemaah di dalam dan di luar ruang rehat ialah 102 minit bagi haji tahun ini, berbanding 127 minit (2019).
Purata masa bagi menyelesaikan prosedur perjalanan haji di bawah inisiatif Makkah Road adalah 55 minit, berbanding 60 minit (2019).