WASHINGTON: Syarikat teknologi, Microsoft secara rasmi menamatkan perkhidmatan pelayar laman web, Internet Explorer yang dicipta sejak 27 tahun lalu.
Memetik laporan Daily Mail, syarikat teknologi itu beralih secara beransur-ansur daripada perisian dilancarkan pada 1995 itu kepada Microsoft Edge, pelayar internet utama bagi Windows 10.
Sokongan untuk versi terakhir, Internet Explorer 11 masih dikekalkan walaupun kebanyakan pengguna sudah beralih kepada platform lain.
Dengan menamatkan perkhidmatan tersebut, ini bermakna penyelenggaraan teknikal seperti kemas kini keselamatan dan pembetulan pepijat tidak akan dilancarkan lagi.
Menurut laman sesawang analisis Statcounter, hanya 0.45 peratus pengguna internet masih menggunakan pelayar Internet Explorer.
Pengurus Program Microsoft, Sean Lyndersay sebelum ini pernah memaklumkan Windows 10 dan ke atas akan sepenuhnya menggunakan Microsoft Edge.
Katanya, masa depan Internet Explorer terdapat pada Windows 10 dalam Microsoft Edge.
“Microsoft Edge bukan sahaja menawarkan pengalaman pelayaran internet lebih pantas bahkan lebih selamat dan moden berbanding Internet Explorer.
“Ia juga mampu mengatasi masalah utama seperti keserasian dengan laman web dan aplikasi yang sudah lapuk,” katanya dalam satu catatan di blog.
Tambah beliau, pengguna masih boleh menggunakan mod Internet Explorer menerusi Microsoft Edge untuk pelayaran legasi.
Berita penamatan Internet Explorer mengecewakan rata-rata pengguna yang masih menggunakan pelayar laman web itu.
Menurut seorang pengguna, dia menggunakan pelayar laman web itu sejak kecil lagi.
“Meskipun, saya tidak lagi menggunakan Internet Explorer sejak beberapa dekad lalu, namun ia merupakan pelayar laman web yang dimiliki sebahagian besar zaman kanak-kanak saya,” katanya.