JAKARTA: Tindakan seorang pelatih amali bidang kejururawatan yang menceritakan pengalamannya memasang tiub kencing terhadap seorang pesakit lelaki menerima padah apabila disingkirkan dari tempat praktikalnya.
Lapor Detik News, pelatih tersebut merupakan pelajar di Universiti Aisyiyah (Unisa) yang menjalani latihan amali di Hospital Awam Wonosari di Yogyakarta dan dia memuat naik video tersebut menerusi aplikasi TikTok.
Ketua Perhubungan Awam dan Protokol Unisa, Sinta Maharani mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan pihaknya sudah berhubungan dengan pelajar berkenaan.
Katanya, pihak universiti sudah memberi teguran kepada pelajar tersebut, selain penglibatannya dalam latihan amali di hospital berkenaan sudah ditarik balik.
“Kami sudah menegur pelajar berkenaan mengenai tindakannya yang secara jelas melanggar etika perubatan.
“Unisa juga sudah memohon maaf kepada hospital atas insiden yang berlaku,” katanya.
Sinta turut menjelaskan setiap pelajar yang akan dihantar menjalani latihan praktikal akan diajar mengenai etika, termasuk menjaga privasi pelanggan bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.
Terdahulu, satu video tular dalam TikTok menunjukkan seorang pelatih di sebuah hospital menceritakan pengalamannya memasang tiub kencing pada pesakit lelaki.
Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada ramai pengguna media sosial annya menyifatkan tindakan pelajar tersebut tidak profesional.
Ada dalam kalangan pengguna TikTok yang menasihatkan pelajar itu supaya melakukan tugasan secara profesional dan tidak seharusnya mendedahkan perkara berkenaan kepada umum.
“Rasanya tidak perlu cerita mengenai pasang tiub kencing pesakit lelaki kerana tidak sopan, malah seperti memperlecehkan pesakit itu,” tulis @Ayyidaaaa.
Seorang lagi pengguna TikTok yang dikenali @rissysippy menulis komen ‘adakah anda pasti pesakit ini tidak akan dapat melihat video ini dan berasa tersinggung?’ soalnya.