DHAKA: Bangladesh mendedahkan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah negara ini semalam.
Jambatan yang diberi nama Padma sepanjang 6.15 kilometer itu merentasi sungai yang menghubungkan Dhaka ke wilayah selatan negara ini.
Pembinaan jambatan itu secara tidak langsung memendekkan jarak antara Dhaka dan pelabuhan kedua terbesar negara ini, Mongla, kira-kira 100 kilometer.
Perjalanan yang sebelum ini mengambil masa dua hingga tiga hari dari selatan Bangladesh kini boleh diselesaikan dalam tempoh beberapa jam.
Projek membina jambatan itu dianggarkan berjumlah AS$3.6 bilion (RM15.9 bilion) dan dibiayai sepenuhnya oleh dana domestik.
“Jambatan itu milik rakyat Bangladesh. Ia melambangkan kesabaran, kreativiti, keberanian, ketahanan dan ketabahan kami.
“Jambatan itu dibina dengan teknologi paling canggih dan dinilai memenuhi tahap piawaian paling tinggi,” kata Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina.
Lebih 14,000 pekerja termasuk jurutera asing mengambil bahagian dalam pembinaan jambatan tersebut.