WASHINGTON: Hartawan Elon Musk memaklumkan Twitter Inc merancang untuk mengenakan bayaran kepada pengguna komersial dan kerajaan.
Bagaimanapun, bakal pemilik baharu syarikat media sosial itu memberi jaminan Twitter tidak akan mengenakan bayaran kepada pengguna biasa.
“Twitter akan sentiasa percuma untuk pengguna biasa tetapi mungkin mengenakan bayaran kepada pengguna komersial dan kerajaan,” kata Musk dalam satu ciapan.
Pengumuman itu dibuat ketika individu paling kaya di dunia itu berusaha meningkatkan capaian platform media sosial kepada kebanyakan warga Amerika.
Setakat ini, Twitter masih belum memberi sebarang maklum balas mengenai perkara itu.
Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc. sebelum ini mencadangkan beberapa perubahan kepada Twitter sejak bulan lalu.
Menurut Musk, beliau mahu meningkatkan platform itu dengan ciri baharu yang menjadikan algoritma yang mengutamakan ciapan tertentu, berupaya diakses oleh orang ramai.
Bulan lalu, sebelum menandatangani perjanjian dengan Twitter, Musk juga mencadangkan beberapa perubahan pada perkhidmatan langganan premium Twitter Blue termasuk mengurangkan harganya.
Hartawan itu memeterai perjanjian untuk membeli Twitter dengan bayaran tunai sebanyak AS$44 bilion (RM191.5 bilion) sekali gus bakal menyaksikan pertukaran pemilikan platform media sosial itu. – REUTERS