LONDON: Seorang doktor di United Kingdom (UK) memberi amaran mengenai trend meminum air kencing sebagai terapi yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat negara itu.
Lapor Daily Mail, air kencing dijual dalam botol dan boleh dibeli menerusi dalam talian pada harga serendah 8 pound (RM43.81).
Penjual mengalakkan para pelanggannya meminum air kencing dengan begitu sahaja atau mencampurkannya dalam teh.
Dr. Zakariya Waqar-Uddin berkata, air kencing adalah bahan buangan yang tidak memberi sebarang manfaat seperti didakwa ramai.
Malah, katanya, perbuatan minum air kencing milik orang lain berupaya mengundang risiko dijangkiti sebarang jangkitan.
“Pasaran dalam talian semakin pelik dan cuba meningkatkan minat dalam apa jua cara.
“Saya bimbang krisis kos sara hidup yang berlaku ketika ini boleh menyaksikan lebih ramai orang menjual sampel air kencing mereka secara dalam talian,” katanya.
Seorang daripada rakyat Britain yang mengikut trend itu, Harry Matadeen mengakui meminum air kencingnya sejak 2016.
Matadeen mendakwa melakukan perbuatan itu kerana mahu sembuh daripada masalah mental yang dihadapinya.
Katanya, dia minum 200 mililiter (ml) air kencing setiap hari, malah kebanyakan cecair diminum itu telah disimpan selama sebulan.