Pengunjung jatuh 10 meter gelongsor air tercabut

Pengunjung jatuh 10 meter gelongsor air tercabut

ANGGOTA polis memeriksa lokasi kejadian yang menyaksikan 16 pengunjung cedera selepas gelongsor air yang mereka naik tercabut tiba-tiba. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Sebanyak 16 pengunjung di Taman Tema Air Kenjeran, Surabaya cedera selepas terjatuh dari gelongsor yang tercabut, kelmarin.

Ketua Jabatan Kebudayaan, Belia, Sukan dan Pelancongan Surabaya, Wiwiek Widyawati berkata, kebanyakan mangsa merupakan remaja berusia belasan tahun yang bercuti di taman tema tersebut.

Katanya, kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.

“Kesemua mangsa dilaporkan terjatuh dari ketinggian 10 meter ketika beberapa bahagian gelongsor itu tiba-tiba tercabut.

“Ada mangsa yang mengalami kecederaan otak kerana kepalanya terhentak, selain ada yang patah tulang kaki dan tangan,” katanya seperti yang dilapor CNN Indonesia.

Berdasarkan data kecemasan Surabaya, kebanyakan mangsa merupakan penduduk Surabaya dan dua daripadanya dari luar wilayah terbabit.

Setakat ini, pihak berkuasa sudah menutup taman tema air tersebut bagi menyiasat punca kejadian.

“Polis akan  menyiasat bagaimana struktur gelongsor itu boleh tercabut sehingga mendatangkan kecederaan kepada pengunjung,” ujar Wiwiek.

Dalam pada itu, pengurusan taman tema berkenaan akan bertanggungjawab atas insiden yang berlaku, termasuk menanggung kos perubatan mangsa.

“Keluarga mangsa tidak perlu bimbang kerana kami akan menanggung kos perubatan dan keperluan mereka,” kata jurucakap taman tema tersebut, Bambang Irianto.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN